PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM600,000 kepada Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berhubung kes fitnah berkaitan unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan dana di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Hakim Azhahari Kamal Ramli membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Razlan Hadri Zulkifli, yang mewakili Saifuddin Nasution, dan Yusfarizal Yussoff bagi pihak Muhammad Sanusi.
"Kami telah menetapkan 16 Okt ini untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh penyampaian keputusan," kata Azhahari Kamal yang bersidang bersama-sama Ong Chee Kwan dan Radzi Harun.
Pada 24 Ogos 2025, Mahkamah Tinggi Alor Setar membenarkan saman Sanusi terhadap Saifuddin Nasution selepas mendapati beliau bertanggungjawab atas fitnah itu.
Mahkamah memberikan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM600,000 kepada Sanusi merangkumi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta kos sebanyak RM70,000.
Terdahulu, Razlan Hadri berhujah sekiranya mahkamah mendapati mana-mana kenyataan tidak membawa maksud yang boleh dijadikan asas tindakan undang-undang dan menyebabkan liabiliti dikenakan maka tuntutan Sanusi berhubung kenyataan itu hendaklah ditolak.
"Jika hanya maksud fitnah yang lebih terhad masih dapat dibuktikan maka pembelaan berasaskan justifikasi dan komen adil perlu diputuskan berdasarkan maksud yang lebih terhad itu serta fakta asas yang dibuktikan melalui keterangan," katanya.
Sementara itu, Yusfarizal berkata dapatan mahkamah selaras dengan hujah plaintif sendiri di Mahkamah Tinggi, yang menyatakan bahawa kejayaan politik bukanlah ukuran bagi kerosakan reputasi dalam kes saman fitnah.
"Hakim Mahkamah Tinggi secara jelas telah menerima hujah itu tanpa sebarang keraguan. Hujah perayu dalam rayuan ini, jika diterima, bermakna tiada ahli politik yang berjaya boleh menuntut ganti rugi atas fitnah sedangkan itu bukanlah undang-undang sedia ada mahupun undang-undang yang pernah diguna pakai sebelum ini.
"Justeru, saya berhujah bahawa rayuan ini wajar ditolak dengan kos dan keputusan Mahkamah Tinggi termasuk pemberian ganti rugi serta relif sampingan yang diputuskan, hendaklah dikekalkan sepenuhnya," katanya.
Pada 3 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin Nasution atas dakwaan bahawa pada 14 Julai tahun sama, defendan telah bercakap kepada pihak media selepas menghadiri satu majlis rasmi di Pulau Pinang dan membuat kenyataan berkaitan Marris.
Sanusi berkata kenyataan itu membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan dana yang diperuntukkan di bawah Marris, yang secara statutori dikhususkan bagi penyelenggaraan jalan raya untuk tujuan pembangunan.
Adun Jeneri itu berkata pada 15 Julai 2023, semasa ceramah pilihan raya di Padang Awam, Guar Chempedak, Yan, defendan telah membuat kenyataan mengenai REE dengan mendakwa plaintif telah mencuri unsur nadir bumi berkenaan.
