Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Indonesia, Meutya Hafid, bagi memperkukuh kerjasama sektor komunikasi dan digital.
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia membincangkan usaha mengeratkan kerjasama dalam sektor komunikasi dan digital termasuk pengurusan isu media sosial, hubungan dengan platform digital serta reformasi spektrum.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia Meutya Hafid sebelum beliau menyampaikan ucaptama pada Bali Tech Week 2026.
“Insya-Allah, hubungan Malaysia-Indonesia dalam bidang komunikasi dan digital akan terus erat, dengan kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata perbincangan juga merangkumi peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta kerjasama digital serantau.
Pada pertemuan itu, Fahmi turut menyampaikan jemputan kepada Meutya untuk menghadiri M360 ASEAN 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia selaras dengan perjanjian berbilang tahun antara Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) dengan Malaysia bagi tempoh 2026 hingga 2028.
