KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung kemalangan enam kenderaan di Jalan Kuching yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR) untuk arahan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Zamzuri Mohd Isa, berkata pemandu kereta yang melanggar kenderaan dinaiki mangsa dari belakang masih menerima rawatan di sebuah hospital swasta.
“Pegawai penyiasat sedang melengkapkan siasatan dan memantau keadaan pemandu itu. Sebarang perkembangan kes ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian petang Sabtu lepas, kereta dinaiki mangsa bersama dengan bapanya dilanggar dari belakang ketika aliran trafik perlahan di Jalan Kuching menghala ke Segambut di sini.
Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur.
Lelaki berusia 24 tahun yang memandu kereta yang melanggar kenderaan mangsa kemudian dikesan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Damansara akibat gegaran otak selepas meninggalkan lokasi kejadian.
