PETALING JAYA: Polis menggerakkan unit pemusnah bom selepas menerima laporan berhubung bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan atau dihantar di beberapa buah sekolah di Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata polis menerima lima laporan di daerah Nilai dan empat laporan di daerah Tampin.
Bungkusan tersebut dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis setelah penerima yang terterae pada bungkusan tidak hadir untuk mengambilnya.
Pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan. "Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi tepung gandam dan pinggan plastik."
"Siasatan sedang diteruskan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan tersebut serta menentukan motif sebenar kejadian," menurut kenyataan.
Sementara itu, polis menasihatkan pihak pengurusan sekolah dan orang ramai supaya tidak menyentuh, membuka atau mengalihkan sebarang bungkusan mencurigakan yang tidak diketahui pemilik atau asal usul.
"Sebarang penemuan hendaklah segera dimaklumkan kepada polis untuk tindakan keselamatan selanjutnya," katanya.
Orang ramai juga diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat atau mengganggu siasatan.
