PETALING JAYA: Sebuah gabungan pertubuhan masyarakat sivil memberi amaran supaya pelarian tidak diambil tindakan serupa dengan pendatang asing tanpa izin (Pati).
CSO Platform for Reform berkata, tindakan menyeluruh besar-besaran terhadap kedua-dua kumpulan itu bukanlah langkah keselamatan kawalan sempadan sebaliknya mampu mengancam nyawa.
Kumpulan itu mengulas gesaan Ahli Parlimen Bersatu Radzi Jidin, supaya operasi besar-besaran seluruh negara diambil bagi menangkap pendatang tanpa izin, termasuk menggerakkan anggota tentera untuk membantu Jabatan Imigresen memberkas dan menghantar mereka pulang ke negara asal.
“Golongan pelarian melarikan diri daripada perang, penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia. Menghantar mereka pulang ke negara asal tanpa menilai apa mereka perlukan dari segi perlindungan mampu mendedahkan mereka kepada penyeksaan, pemenjaraan malah juga maut,” katanya dalam kenyataan.
“Mengambil tindakan menyeluruh membangkitkan risiko yang meletakkan ribuan golongan lemah, termasuk wanita dan kanak-kanak dalam bahaya.”
Gabungan itu berkata, pelarian tidak boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan hanya kerana tidak mempunyai dokumen imigresen, malah keadaaan mereka mesti dibezakan daripada kes melibatkan pemerdagangan dan penyeludupan manusia serta penipuan imigresen.
Terdahulu, bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengkritik Radzi kerana cuba ‘mencari publisiti’ apabila menggesa supaya operasi membanteras pendatang tanpa dokumen di seluruh negara dilaksanakan dengan melibatkan tentera.
Santiago berkata, pekerja migran bukan punca masalah Pati di negara ini, sebaliknya berpunca daripada ‘ketamakan, rasuah, pengambilan pekerja secara eksploitatif dan majikan yang tidak bertanggungjawab’
CSO Platform for Reform berkata, isu pendatang tanpa izin mesti ditangani menggunakan dokumentasi yang betul, penjejakan secara berkesan dan penguatkuasaan yang bertanggungjawab.
“Segelintir pendatang mungkin memasuki Malaysia menggunakan dokumen sah, yang kemudian hilang atau luput. Keadaan mereka mesti ditentukan sewajarnya,” kata kumpulan itu.
Kumpulan itu turut mengkritik cadangan supaya tentera dikerahkan dengan menegaskan tanggungjawab hakiki tentera adalah melindungi kedaulatan negara dan mengawal sempadan terhadap ancaman luar.
“Penguatkuasaan imigresen dan pengurusan pelarian memerlukan kakitangan yang berkelayakan khas, prosedur undang-undang jelas, serta perlindungan kemanusiaan sewajarnya.
“Tidak patut untuk menggunakan pendekatan penahanan serta pengusiran besar-besaran, dan pengerahan tentera juga tidak patut menggantikan pentadbiran imigresen yang berkesan,” menurut kumpulan itu.
Ia menggesa kerajaan mengukuhkan agensi awam, menyiasat sindiket pemerdagangan serta rasuah, memastikan majikan yang mengeksploitasi pekerja dipertanggungjawabkan, selain mewujudkan mekanisme telus bagi menilai keperluan perlindungan pelarian sebelum pengusiran dilaksanakan.
