PETALING JAYA: Penjawat awam dilarang menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi mengelakkan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna disalahgunakan Israel.
Keputusan dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi melindungi maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat daripada ancaman keselamatan.
“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Keputusan ini mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.
Pada masa sama, Anwar menyarankan rakyat beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu, mengambil kira jaminan keselamatan dan perlindungan data peribadi ditawarkan.
“Pendirian kerajaan Madani adalah tegas dan kita akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat,” menurut kenyataan.
Larangan itu menyusuli keputusan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) dipengerusikan Anwar, semalam.
Arahan pelaksanaannya dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar melalui surat bertarikh sama dan berkuat kuasa serta-merta.
Semalam, Anwar menggalakkan rakyat menggunakan TuJu, aplikasi tempatan dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebagai alternatif kepada Waze susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.
Di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata jika Waze dianggap berbahaya kerana berpangkalan di Israel, penggunaannya perlu disekat untuk semua rakyat bukan hanya penjawat awam.
Beliau mempersoalkan arahan kepada penjawat awam supaya tidak menggunakan aplikasi itu dan menggesa kerajaan menjelaskan rasional di sebalik larangan.
