PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PAS cadang kerajaan perkenal silabus kemandirian dan daya tahan di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, dan komuniti bagi membolehkan rakyat membuat persiapan lebih baik berdepan bencana serta kecemasan.
Mumtaz Nawi (PN-Tumpat), berkata kemahiran praktikal ikhtiar hidup patut diserapkan ke dalam silabus pendidikan, terutamanya ketika negara bersiap sedia menghadapi kemungkinan fenomena Super El Niño tahun hadapan.
Berucap di Dewan Rakyat, beliau memberi amaran Malaysia berdepan risiko cuaca panas ekstrem antara Februari dan Mei 2027, dengan suhu berpotensi melebihi 41°C.
Beliau berkata, silabus yang dicadangkan itu sepatutnya membekalkan rakyat Malaysia dengan kemahiran praktikal mengendalikan situasi kecemasan, bukannya kepada pengetahuan teori semata-mata.
"Ia perlu merangkumi kesiapsiagaan bencana merentasi isu banjir, termasuk cuaca panas ekstrem, pertolongan cemas, pengurusan kewangan ketika krisis, kecemasan keselamatan siber, serta gangguan bekalan air, makanan, dan tenaga,” katanya.
Mumtaz turut merujuk Jepun dan Filipina sebagai contoh negara yang mengambil langkah memperkukuh kesiapsiagaan dan ketahanan bencana.
Beliau menyeru rangka kerja kesiapsiagaan iklim yang komprehensif diwujudkan, termasuk peta dan kalendar iklim bagi meningkatkan keupayaan negara menangani risiko yang semakin meningkat susulan perubahan iklim.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca panas terik antara Mac dan Mei tahun hadapan disebabkan fenomena Super El Niño, yang mampu menyaksikan suhu melepasi rekod tertinggi Malaysia, 40.1°C.
Ketua Pengarah Hisham Anip, berkata analisis terhadap fenomena El Niño semasa, berasimilasi dengan kesan perubahan iklim dan pemanasan global menunjukkan suhu berisiko melebihi 41°C.
