PETALING JAYA: Kemarahan di media sosial dan penghakiman menerusi pendapat umum semakin mengancam kebebasan badan kehakiman, kata Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang menggesa para hakim agar menumpukan usaha menegakkan keadilan berbanding meraih sokongan umum.
Beliau menegaskan badan kehakiman perlu membezakan antara keyakinan awam, yang wajar diraih, dengan restu masyarakat, yang tidak patut dikejar sama sekali.
“Tugas kita sebagai hakim bukan untuk jadi popular. Tanggungjawab kita adalah membuat keputusan yang betul,” katanya dalam syarahan akademik bersama mahasiswa undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, mengenai keupayaan badan kehakiman mendepani mahkamah pendapat umum.
Beliau berkata, teks penghakiman yang panjang sering diringkaskan kepada sekadar tangkap layar dan disebarkan dalam talian, lantas mendorong orang ramai membuat kesimpulan tegas tanpa membaca alasan penghakiman mahkamah.
“Saya menggesa anda, apa jua kesnya, bacalah penghakiman itu sendiri termasuk alasan penghakiman yang berbeza jika ada, sebelum ambil sebarang pendirian," katanya.
Wan Ahmad Farid berkata, mahkamah kerap dipuji sebagai bebas apabila keputusannya memihak kepada sesuatu pihak, namun dituduh terjejas integritinya apabila ketetapan dibuat sebaliknya.
“Itu bukan analisis. Itu kecenderungan pihak yang melampau dalam bentuk paling buruk," tegasnya.
Beliau turut mengimbau episod hitam institusi kehakiman, termasuk krisis kehakiman 1988 serta kontroversi klip video 'betul, betul, betul' pada 2007, mengakui bahawa rasa curiga masyarakat kadangkala bersebab.
Institusi kehakiman mesti mengakui kelemahannya dan membina semula kepercayaan rakyat menerusi muhasabah serta pembetulan dalaman yang jujur, tambahnya.
“Sesebuah institusi yang gagal bersikap jujur mengenai sejarah lampaunya tidak layak menuntut kepercayaan,” katanya.
Beliau memberi peringatan bahawa kebimbangan terhadap kecaman warga maya boleh mempengaruhi keputusan kehakiman, sekali gus menjejaskan kebebasannya walaupun tanpa sebarang campur tangan langsung.
Sehubungan itu, Wan Ahmad Farid menggesa penyediaan ringkasan penghakiman dalam bahasa mudah, penerbitan tepat pada masanya, tatacara aduan yang telus, serta kod etika kehakiman yang berwibawa.
Kritikan terhadap penghakiman ialah amalan sihat, katanya, namun serangan peribadi dan cubaan memusuhi hakim boleh menghakis rasa hormat terhadap institusi tersebut.
“Mahkamah pendapat umum bergantung kepada populariti dan maklumat yang kadangkala belum ditentusahkan. Mahkamah undang-undang pula berpaksikan lunas undang-undang,” katanya.
Apabila ditanya sama ada institusi kehakiman mampu bertahan menghadapi penelitian awam, beliau menjawab ringkas dan tegas: “Ya.”
