PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan bantuan RM396,500 kepada 793 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada keluarga kurang berkemampuan menerusi Bantuan Lestari Siswa Madani.
Setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing.
Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban kewangan dan membantu menampung kos sara hidup pelajar yang memerlukan.
“Saya berharap bantuan ini dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik," katanya dalam kenyataan.
"Kejayaan yang dicapai kelak bukan sahaja membuka peluang kepada masa depan dan kerjaya yang lebih baik, malah mampu meningkatkan taraf hidup serta mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih sejahtera."
Bantuan itu disampaikan pada 9 Okt lepas di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus, Terengganu.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, seramai 305 pelajar UMT menerima bantuan berjumlah RM152,500, manakala 414 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) menerima RM207,000.
Baki RM37,000 disalurkan kepada 74 pelajar empat politeknik, iaitu Politeknik Hulu Terengganu, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, Politeknik Besut dan Politeknik Kuala Terengganu.
Program itu mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan PTPTN dalam menyokong kebajikan pelajar serta agenda pendidikan tinggi negara.
