PETALING JAYA: Kertas siasatan berhubung dakwaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, dipaksa menandatangani proklamasi bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kini di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata polis telah mengambil keterangan empat individu bagi membantu siasatan dan kertas siasatan itu dirujuk kepada AGC pada 29 Sept lalu.
"Polis sedang menunggu keputusan serta arahan lanjut AGC berkenaan kertas siasatan tersebut. Sebarang tindakan dan siasatan lanjut polis tertakluk kepada hasil penelitian dan arahan AGC.
"Polis akan mengambil tindakan sewajarnya selaras peruntukan undang-undang berkuatkuasa," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Saifuddin menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) berhubung status terkini siasatan ke atas laporan polis dibuat Ismail pada 8 Sept lalu.
Pada 5 Sept lalu, empat undang dipertikaikan itu mendakwa Ismail menandatangani proklamasi bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz, walaupun Ismail mengelak daripada mengulas dakwaan berkenaan dan berikrar taat setia sepenuhnya kepada pemerintah negeri.
Tiga hari kemudian, undang terbabit menunjukkan dokumen didakwa proklamasi yang ditandatangani Ismail dalam satu sidang media.
Ismail kemudian mendakwa beliau menandatangani dokumen itu "tanpa rela hati dan secara paksaan", sambil menegaskan proklamasi terbabit tidak sah. Beliau turut membuat laporan polis.
Bagaimanapun, beliau kemudian menyokong kenyataan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengumumkan penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
