PETALING JAYA: Guthrie menafikan laporan yang mendakwa anak syarikat atau pekerjanya mencetuskan kebakaran hutan di Indonesia, sambil menyifatkan tuduhan itu tidak disokong bukti kukuh.
Menerusi satu kenyataan, syarikat perladangan itu berkata pemeriksaan terkini di lapangan tidak mengesan kebakaran aktif di mana-mana ladangnya di negara jiran terbabit selain menafikan beberapa syarikat dikaitkan, tidak dimiliki oleh Guthrie.
"Pemeriksaan tidak menemukan sebarang bukti bahawa kebakaran berpunca daripada anak-anak syarikat atau pekerja Guthrie. Beberapa syarikat yang telah dikaitkan dengan Guthrie dalam laporan awam juga sebenarnya tidak dimiliki, diurus mahupun dikawal oleh Guthrie.
"Sebarang rujukan kepada Guthrie yang bersandarkan maklumat lama atau tidak tepat perlu diperbetulkan bagi mengelakkan kekeliruan," katanya.
Mengulas lanjut, Guthrie berkata langkah syarikat itu yang bekerjasama dengan pihak berkuasa memadam kebakaran di luar kawasan operasinya tidak seharusnya dianggap sebagai bukti ia telah mencetuskan kebakaran.
Katanya, syarikat itu mengambil pelbagai langkah pencegahan termasuklah pemantauan paras air dalam masa nyata, pemantauan aras air bawah tanah di kawasan tanah gambut, kawalan kelembapan pada tahap yang sesuai, program pencegahan kebakaran bersama masyarakat.
"Sejak 1985, kita telah melaksanakan dasar sifar pembakaran yang ketat di seluruh kawasan operasi, di samping mendukung komitmen pembangunan tanpa penebangan hutan, tanpa tanah gambut dan tanpa eksploitasi.
"Apabila kebakaran dikesan dalam kawasan atau berhampiran sempadan operasi Guthrie, kita bertindak serta-merta tanpa mengira punca kebakaran. Anak syarikat kita di Indonesia, Minamas Plantation, mempunyai 67 pasukan pemadam kebakaran yang terdiri daripada 1,005 anggota terlatih.
"Keupayaan ini ditambah dengan dron serta pemantauan inframerah meliputi kawasan konsesi perladangan dan kira-kira 322,000 hektar tanah masyarakat di sekitar," katanya.
Guthrie menegaskan, laporan yang dipercayai merujuk peta Hak Guna Usaha yang lama dan tidak mencerminkan status pemilikan atau sempadan operasi semasa.
Syarikat itu berkata laporan mengatakan pokok sawit di kawasan kebakaran telah matang dan perlu ditebang juga tidak tepat memandangkan pokok terbabit masih muda dan produktif.
"Justeru, tiada keperluan bagi Guthrie membakar kawasan tersebut bagi pembersihan tanah. Profil umur pokok berkenaan juga tidak menyokong dakwaan Guthrie sengaja mencetuskan kebakaran," katanya.
