PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan penyedia aplikasi Prosignal Consortium Sdn Bhd memberi penjelasan berhubung gangguan teknikal yang dibangkitkan oleh pengguna aplikasi navigasi TuJu.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, kedua-dua pihak perlu mengemukakan penjelasan terperinci mengenai punca sebenar masalah itu, aspek teknikal, prestasi semasa aplikasi, serta langkah pembetulan yang sedang atau akan dilaksanakan.
“Penjelasan sedemikian penting bagi memastikan isu ini ditangani secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan aplikasi TuJu dan membina semula keyakinan orang ramai terhadap penggunaan aplikasi navigasi tempatan,” kata Fahmi pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Fahmi juga berkata, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar akan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiausaha beberapa kementerian bagi menyemak semula penggunaan aplikasi navigasi, termasuk alternatif buatan tempatan, serta memastikan penjawat awam tidak lagi menggunakan Waze.
Mesyuarat itu juga akan meneliti penjelasan daripada pihak LLM dan Prosignal Consortium.
“Ini termasuk aspek teknikal, keberkesanan fungsi, pengalaman pengguna serta pelan tindakan penambahbaikan dengan sasaran dan garis masa yang jelas,” kata Fahmi.
Semalam, LLM memohon maaf atas gangguan perkhidmatan TuJu susulan lonjakan jumlah pengguna.
LLM menyatakan pihaknya akan bekerjasama dengan Prosignal Consortium untuk mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem dan meningkatkan kapasiti aplikasi bagi menampung pertambahan trafik pengguna.
Penjawat awam dilarang menggunakan Waze susulan surat bertarikh 20 Okt yang dikeluarkan oleh Shamsul, yang menyatakan keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Kebangsaan pada hari sama.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim kemudiannya menggalakkan rakyat Malaysia mempertimbangkan penggunaan TuJu.
Bagaimanapun, pengguna aplikasi tersebut meluahkan rasa tidak puas hati di platform media sosial mengenai pelbagai isu teknikal yang dihadapi ketika menggunakan aplikasi berkenaan, termasuk panduan laluan yang tidak tepat, ketiadaan data insiden masa nyata, serta pepijat (bugs) yang menjejaskan pengalaman pengguna.
