PETALING JAYA: Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) terus memperkasa sosioekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penganjuran Karnival VETERANiaga di pekarangan Dewan Komuniti, Taman Wai Permai, Kuala Perlis, semalam.
Karnival itu menyediakan platform kepada veteran ATM dan ahli keluarga mereka memasarkan produk serta perkhidmatan, memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan pendapatan selepas tamat perkhidmatan ketenteraan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, yang juga komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia, berkenan berangkat melawat karnival itu.
Baginda turut beramah mesra dengan veteran ATM yang menyertai karnival berkenaan sebagai peniaga.
Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pengarah Perhebat Amir Md Noor, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) Semaon Marjuk dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Veteran ATM Azwadi Jamian.
Antara pengisian utama karnival ialah gerai jualan dan pameran keusahawanan yang mengetengahkan pelbagai produk, termasuk makanan, minuman, kraf tangan serta perkhidmatan tempatan diusahakan veteran ATM.
Program itu turut menyediakan kaunter khidmat nasihat Perhebat bagi membolehkan peserta mendapatkan maklumat dan rundingan berkaitan latihan kemahiran, kursus keusahawanan serta bantuan dan bimbingan perniagaan.
Selain itu, pelbagai aktiviti komuniti seperti saringan kesihatan asas dan cabutan bertuah turut diadakan bagi menggalakkan penyertaan masyarakat setempat.
Penganjuran Karnival VETERANiaga mencerminkan usaha berterusan Perhebat membantu veteran ATM membina kehidupan lebih sejahtera dan berdikari selepas menamatkan perkhidmatan, khususnya melalui pembangunan kemahiran dan keusahawanan.
Inisiatif itu juga bertujuan mengeratkan hubungan antara veteran ATM, agensi kerajaan dan komuniti setempat, di samping membuka peluang kepada usahawan veteran terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Melalui program seumpama itu, kepakaran, pengalaman dan potensi keusahawanan veteran ATM diharap dapat dimanfaatkan bagi menjana pendapatan serta meningkatkan kesejahteraan keluarga mereka.
