PETALING JAYA: Tindakan Kastam Johor mengetatkan penerimaan bil muatan (B/L) bagi tujuan pengikraran kastam dapat mengurangkan risiko ketirisan hasil serta masalah pengesanan kargo, kata pakar maritim.
Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Maritim Universiti Malaysia Terengganu Madzli Harun berkata ketetapan supaya maklumat dalam B/L benar, tepat dan lengkap penting bagi memastikan Kastam dapat mengesahkan penerima, lokasi pemunggahan serta pergerakan sesuatu kargo.
“Bayangkan kontena bernilai jutaan ringgit, tetapi nama penerima atau pelabuhan pemunggahan tidak tepat. Bagaimana Kastam mahu menyemak siapa penerima sebenar, di mana kargo dipunggah dan sama ada pengikraran itu betul?
“Kesilapan seperti ini boleh membawa kelewatan, pertikaian, masalah pengesanan kargo dan risiko ketirisan hasil negara,” katanya kepada FMT.

Dalam notis bertarikh 8 Okt, JKDM Johor memaklumkan mulai 23 Okt, pihaknya tidak lagi menerima B/L yang mengandungi maklumat tidak benar atau tidak lengkap bagi tujuan pengikraran kastam.
Jabatan itu turut menetapkan pertukaran nama penerima melalui pindaan melalui catatan pengesahan tidak diterima sebagai pengganti B/L asal.
Pengarahnya Aminul Izmeer Sohaimi berkata maklumat dalam B/L perlu selaras dengan manifes Kastam, borang pengikraran Kastam dan dokumen sokongan berkaitan.
Madzli berkata arahan itu tidak bermakna Kastam memperkenalkan undang-undang baharu kerana kewajipan mengemukakan maklumat perdagangan yang benar, tepat dan lengkap sudah diperuntukkan bawah Akta Kastam 1967.
Katanya, tempoh 15 hari antara tarikh notis dikeluarkan dan pelaksanaannya memberi ruang kepada syarikat perkapalan, ejen, pengimport, pengeksport serta pengendali pelabuhan menyesuaikan proses dokumentasi masing-masing.
Namun, katanya, tempoh itu tidak bermakna maklumat tidak tepat boleh dikemukakan sebelum ketetapan tersebut mula dilaksanakan.
“Kalau undang-undang sudah menetapkan kewajipan, kita mesti patuh sejak awal. Jangan tunggu surat peringatan baharu hendak mula menyemak dokumen,” katanya.
Madzli berkata tanggungjawab memastikan ketepatan dokumen bukan terletak pada Kastam sahaja, sebaliknya turut membabitkan ejen, syarikat perkapalan, pengimport dan pengeksport.
Menurutnya, pengikraran tidak benar atau tidak tepat boleh membawa implikasi undang-undang sekiranya unsur kesalahan dapat dibuktikan, namun tidak setiap kesilapan secara automatik dianggap suatu jenayah.
Beliau berkata tindakan JKDM Johor juga tidak semestinya menunjukkan wujud kepincangan dalam keseluruhan sistem Kastam, sebaliknya memperlihatkan keperluan untuk memperjelas dan menyeragamkan amalan dokumentasi.
Katanya, pematuhan lebih ketat boleh menghasilkan rekod kargo yang lebih tepat, mengurangkan pertikaian dan meningkatkan keyakinan terhadap sistem perdagangan negara.
“Pelabuhan yang baik bukan sekadar cepat; ia juga cekap, telus dan patuh undang-undang,” katanya.
