BYD driver charged with three offences over fatal Jalan Kuching crash that killed a five-year-old girl, including dangerous driving causing death
KUALA LUMPUR: Pemandu kereta BYD yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lepas hari ini didakwa atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak berkenaan.
Raeven Goh Wey Haur, 24, yang bekerja sebagai pegawai bank, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Aliaa Anwar.
Lelaki itu didakwa memandu kereta jenis BYD Seal secara berbahaya kepada orang awam, sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak Asiah Ahmad Syahir, lima tahun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak kurang 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Sekiranya disabitkan kesalahan, lelaki itu boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada sepuluh tahun dari tarikh sabitan.
Lelaki itu juga didakwa memandu kenderaan sama secara berbahaya kepada orang awam, dengan mengambil kira keadaan kesesakan lalu lintas mengikut Seksyen 42(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang RM15,000 selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa gagal memberhentikan kenderaannya setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya mengikut Seksyen 52(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuching dari arah pusat bandar menghala ke Jalan Segambut pada 3.44 petang, 10 Okt.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan, mengambil kira tahap keseriusan perbuatan yang dilakukan.
“Pendakwaan juga mohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan lesennya digantung bermula hari ini sehingga kes selesai,” katanya.
Peguam Khailash Sharma yang mewakili lelaki itu memohon jaminan rendah atas alasan keluarga anak guamnya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis selepas kejadian.
“Penjamin yang dicadang ialah ayah tertuduh iaitu seorang ahli perniagaan berusia 55 tahun. Dalam tempoh 24 jam seawal 8 malam, keluarga tertuduh telah memberikan kerjasama dengan membuat laporan polis. Mohon jaminan yang tidak menghukum,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM36,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan, selain menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini, ahli keluarga mangsa turut hadir ke mahkamah bersama Nur A’minahtul Mardiah Md Nor selaku peguam pemerhati.
Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur selepas terlibat dalam kemalangan yang membabitkan enam kenderaan.
Kemalangan kira-kira 3.44 petang itu, dipercayai berlaku selepas kereta BYD Seal dipandu suspek melanggar bahagian belakang kereta dinaiki mangsa, yang bergerak perlahan dalam aliran trafik dari arah pusat bandar menghala ke Segambut.
Pelanggaran itu turut melibatkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza terbabit berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
Pemandu Perodua Bezza yang merupakan bapa mangsa serta seorang penunggang motosikal turut cedera dalam kejadian itu.
