PETALING JAYA: Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) berkata ada dalam kalangan ahlinya akan menaikkan gaji minimum pekerja mereka kepada RM2,000 sebulan seperti diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2027.
Presiden Perdasama, Azamanizam Baharon, berkata mereka menyatakan secara sukarela akan menaikkan gaji minimum itu walaupun syarikat bukan kategori pendapatan melebihi RM50 juta setahun.

Katanya, persatuan menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengecualikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan nilai jualan tahunan di bawah RM50 juta daripada pelaksanaan kadar gaji minimum RM2,000.
"Perdasama berpandangan bahawa keputusan ini merupakan langkah wajar dan pragmatik, mengambil kira realiti semasa yang dihadapi PMKS khususnya usahawan Bumiputera yang masih bergelut untuk menstabilkan aliran tunai, menampung kos operasi serta mengekalkan daya saing perniagaan.
"Namun demikian ada kalangan ahli Perdasama menyatakan secara sukarela akan menaikkan gaji minimum RM2,000 walaupun syarikat bukan kategori pendapatan melebihi RM50 juta setahun," katanya dalam kenyataan.
Pada pembentangan Belanjawan 2027, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Bagaimanapun, PMKS dengan jualan tahunan kurang RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
Azamanizam berharap dasar gaji minimum perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira saiz perusahaan, sektor ekonomi, produktiviti, kemampuan kewangan serta keadaan ekonomi semasa.
Katanya, pelaksanaan gaji minimum itu bukan sahaja memberi impak kepada perniagaan terutama dari segi pembayaran gaji tetapi turut menyebabkan PMKS mengurangkan pengambilan pekerja, membekukan peluang pekerjaan baharu, menaikkan harga produk dan perkhidmatan.
"Perdasama berharap kerajaan terus memperkukuh ekosistem sokongan kepada PMKS melalui akses pembiayaan yang lebih mudah, insentif peningkatan produktiviti, automasi, pendigitalan dan latihan kemahiran pekerja.
"Langkah ini penting supaya peningkatan gaji dapat disokong oleh pertumbuhan produktiviti dan prestasi perniagaan yang lebih kukuh," katanya.
