AMPANG: Kerajaan mungkin mengharamkan penggunaan Waze sepenuhnya jika aplikasi alternatif mempunyai keupayaan memadai, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan akan menilai keupayaan aplikasi alternatif terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya.
“Kalau dah esok kita tengok keupayaan kita cukup baik, maka kita mungkin…kemungkinan untuk menghentikan sama sekali,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana.
Mengulas gesaan Pemuda DAP supaya kerajaan menyemak semula keputusan larangan penggunaan Waze, Anwar berkata perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Pimpinan DAP semua ada, Gobind dan Loke setuju,” katanya merujuk kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Anwar berkata, keputusan berhubung penggunaan Waze dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan negara memandangkan Waze berpangkalan di Israel dan perjanjiannya tertakluk kepada undang-undang negara itu.
“Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya,” katanya.
Pada 21 Okt, kerajaan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan urusan rasmi susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar.
Larangan itu mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan data pengguna serta kesesuaian aplikasi alternatif yang boleh digunakan bagi tujuan navigasi.
Susulan larangan itu, Anwar menggalakkan rakyat beralih kepada aplikasi tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd.
Bagaimanapun, beliau mengakui aplikasi TuJu masih mempunyai beberapa kelemahan, namun menegaskan perkara itu tidak seharusnya mengalihkan perhatian daripada kebimbangan keselamatan negara, dan meminta pengguna bersabar sementara kerajaan menilai keupayaan aplikasi alternatif yang tersedia.
Sebelum ini, Pemuda DAP menggesa kerajaan menyemak semula keputusan berkenaan, manakala pihak Waze menafikan dakwaan aplikasi itu mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan data peribadi pengguna dieksploitasi.
