PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) membuka semula sistem dan perkhidmatan utamanya selepas serangan siber yang menyebabkan operasi dihentikan sementara pada 8 Okt lalu, namun tiga fungsi THiJARI masih tergendala.
TH berkata, tiga fungsi berkenaan membabitkan penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun secara dalam talian yang masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut.
Menurutnya, sistem dan perkhidmatan utama kembali beroperasi selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan serta langkah pemulihan dilaksanakan.
"Cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah kembali beroperasi mulai Ahad, 11 Okt , manakala semua cawangan di negeri-negeri lain dibuka seperti biasa hari ini.
"Perkhidmatan melalui bank-bank rakan strategik TH juga telah kembali aktif," katanya dalam kenyataan.
TH menjelaskan, keputusan menghentikan sementara operasi di semua saluran pada 8 Okt lalu dibuat bagi melindungi simpanan dan maklumat peribadi pendeposit susulan serangan siber terhadap sistemnya.
Katanya, pasukan dalaman TH bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara untuk menyiasat kejadian, menangani ancaman dan memulihkan sistem.
TH turut membuat laporan polis serta memaklumkan kejadian itu kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
"TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat. Pemantauan rapi serta pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem dan perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar," katanya.
TH turut memohon maaf atas kesulitan dialami pendeposit dan meminta mereka segera melaporkan sebarang transaksi mencurigakan atau perkara luar biasa pada akaun masing-masing.
Pendeposit yang memerlukan bantuan atau penjelasan lanjut boleh menghubungi Pusat Perhubungan TH di talian 03-6207 1919.
