PETALING JAYA: Dua anggota polis yang mendakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Shuhaily Zain akan memfailkan bagi menuntut pampasan atas kecederaan fizikal dan kesan trauma yang dialami mereka.
Peguam mewakili kedua-dua anggota itu, Kamal Hisham Jaffar, berkata, tindakan sivil akan difailkan dalam tempoh tujuh hari selepas dapat laporan perubatan daripada Pusat Kesihatan Salak dan Hospital Cyberjaya.
Katanya, jumlah pampasan yang dituntut akan dibuat selepas menerima laporan perubatan berkenaan dan selepas membuat penilaian serta meneliti peruntukan undang-undang berkaitan, lapor Harian Metro.
"Tuntutan itu berkaitan kecederaan dialami, termasuk kesan fizikal dan mental serta perkara lain yang berlaku susulan kejadian berkenaan," katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu sidang media Mahkamah Sepang.
Kamal berkata, seorang daripada anggota polis itu dilaporkan mengalami trauma sehingga memerlukan rawatan psikiatri susulan kejadian berkenaan.
Beliau juga menegaskan bahawa tiada sebarang bayaran dikenakan kepada kedua-dua anggota polis itu dan khidmat guaman diberikan adalah secara 'pro bono'.
"Kami mengambil kes ini atas kesedaran sendiri selepas mereka memaklumkan kesukaran dihadapi, termasuk kekangan kewangan dan perbezaan pangkat yang ketara," katanya.
Kamal juga meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang mengaitkan dua anggota polis itu dengan sindiket atau kegiatan 'counter setting'. Katanya, fokus kes itu adalah perbuatan kekerasan terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Terdahulu hari ini, Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dua anggota polis bulan lalu.
Shuhaily didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Faiz Saman dan Ekmal Sofwan di Terminal 1 KLIA pada 28 Sept.
Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
