PETALING JAYA: Indonesia masih enggan menerima bantuan luar, termasuk sokongan daripada Malaysia, bagi menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas, sebelum republik itu mengisytiharkannya bencana nasional.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia Dudung Abdurachman berkata, kerajaannya masih berupaya menangani krisis itu menggunakan sumber tempatan, justeru belum membuat pengisytiharan bencana nasional.
“Buat masa ini, kita masih berupaya. Negara kami masih berupaya, seperti yang saya katakan sebelum ini, Malaysia ada menawarkan bantuan, sekiranya diisytiharkan sebagai bencana nasional, bantuan itu akan dihulurkan.
“Ini bukan soal bantuan semata-mata, tetapi terdapat juga banyak cabaran teknikal di lapangan, termasuk pengagihan bahan api dan isu logistik yang lain,” katanya pada sidang media hari ini, lapor Bernama.
Pada Ahad, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kesediaan Malaysia untuk membantu Indonesia dan mencadangkan mekanisme kerjasama peringkat Asean bagi memperkukuh penyelarasan, kesiapsiagaan serta tindakan bersama menangani jerebu rentas sempadan.
Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi mengulangi bahawa Malaysia sedia menggerakkan aset termasuk sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter dan 50 anggota, namun penghantarannya masih menunggu kelulusan rasmi daripada pihak Indonesia.
Bantuan itu pada mulanya dibincangkan semasa pertemuan Zahid dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Hambalang, Jawa Barat pada 18 Sept lepas, apabila pemimpin Indonesia itu menyambut baik tawaran Malaysia.
