KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mempertimbangkan semula projek pembinaan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman bagi mengatasi masalah akses pengangkutan lebih 3,600 penduduk serta merancakkan sektor pelancongan tempatan.
Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata walaupun menghormati keputusan kerajaan membatalkan projek berkenaan sebelum ini atas faktor alam sekitar, pembatalan itu tidak menyelesaikan masalah pengangkutan di pulau berkenaan.
“Pemuliharaan Tioman ialah amanah kita bersama. Namun, pemuliharaan dan ketersambungan bukan dua perkara yang bertentangan.
“Membatalkan sebuah projek tidak menyelesaikan masalah akses penduduk dan pengusaha di pulau itu,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Menurutnya, Pulau Tioman yang diwartakan sebagai taman laut menerima kira-kira 250,000 pelancong setahun, namun kebergantungan hampir sepenuhnya kepada laluan laut menyukarkan pergerakan serta urusan logistik dan ekonomi tempatan.
Kerajaan dilaporkan membatalkan projek pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman tiga tahun lalu selepas mendapati ia berpotensi memberi kesan negatif yang sangat ketara terhadap alam sekitar.
Laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) turut mengenal pasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di kawasan berkenaan yang berisiko terancam.
Dalam pada itu, Abdul Khalib turut menggesa pengusaha feri bagi laluan Teluk Gading-Pulau Tioman membatalkan kenaikan tambang baharu yang disifatkannya membebankan pelancong dan penduduk tempatan.
Katanya, kenaikan tambang ketika keadaan ekonomi mencabar berpotensi menjejaskan kedatangan pelancong secara berkumpulan, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan peniaga di pulau berkenaan.
“Saya juga menggesa kerajaan campur tangan dengan melihat semula asas kenaikan tambang, selain memastikan perkhidmatan yang selesa dan berkualiti disediakan,” katanya.
