PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir mempertahankan seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang mempersoalkan usaha pengumpulan dana untuk Najib Razak, dengan berkata pelajar itu tidak akan dikenakan tindakan oleh kementeriannya atau universiti.
Dalam video TikTok yang dimuat naik hari ini, Zambry turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) meneliti hantaran dan akaun media sosial terbabit dalam mengecam Ummi Umairah Bakhit, termasuk sama ada akaun palsu digunakan.
"Ada yang mengatakan pelajar ini telah pun dilakukan intimidasi terhadap beliau, diugut, dimaki hamun dan sebagainya," katanya dalam video itu.
Beliau berkata, tindakan intimidasi sebegini tidak boleh diterima dan Ummi berhak membuat laporan polis untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan.
"Saya ingin menegaskan beliau mempunyai hak untuk bersuara. Ruang kebebasan (bersuara) itu juga diharap dapat dilaksanakan dalam suasana penuh bertanggungjawab, beradab dan berfakta."
Zambry turut memberi amaran kepada tokoh politik supaya tidak menjadikan pelajar itu senjata propaganda memandangkan beliau berisiko menjadi mangsa agenda politik.
Beliau turut mendakwa ada menteri mencadangkan baju-T memaparkan imej Ummi dihasilkan.
Ummi, pelajar ijazah sarjana muda ekonomi, mendapat perhatian ramai di Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur selepas mempersoalkan sumbangan dana untuk membantu Najib membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta.
Semasa sesi dialog bersama bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, beliau bertanya bagaimana pemimpin masa depan boleh menentang rasuah sedangkan orang ramai menyumbang kepada tabung dana itu.
Sabtu lalu, Naib Canselor UM, Noor Azuan Abu Osman dilaporkan berkata, tiada tindakan tatatertib diambil terhadap Ummi kerana pelajar wajar diberi ruang menyuarakan pandangan mereka.
