PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Urusan Serba Dinamik Holdings Bhd, Abdul Karim Abdullah kini dalam Notis Merah Interpol.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika mendedahkan perkara itu berkata, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyambung semula siasatan ke atas transaksi Serba Dinamik pada 2023 selepas pertuduhan terhadap syarikat itu ditarik balik pada 2022.
Menurutnya, siasatan itu diperluaskan kepada kes berkaitan, termasuk Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) yang turut membabitkan Karim.
"Ini menunjukkan peningkatan dalam tindakan penguatkuasaan SC, sama ada jenayah atau sivil," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
SC mendakwa SCIB mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia pada September 2021.
Bekas CEO dan pengarah urusan kumpulan SCIB, Rosland Othman, turut didakwa pada 12 Mac atas dakwaan menyebabkan syarikat itu mengemukakan pernyataan palsu itu. Dia mengaku tidak bersalah.
Karim dikehendaki berhubung kesalahan sama di bawah Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA). SC telah mendapatkan waran tangkap terhadapnya pada 12 Mac.
Pada Mei 2022, Serba Dinamik, Karim, dan tiga pegawai kanan lain dilepaskan daripada pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Bhd pada 2021, selepas mereka membayar kompaun RM16 juta.
Serba Dinamik dan empat eksekutif itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan pada 28 Dis 2021 atas pertuduhan di bawah Seksyen 369(a)(B) CMSA.
Pertuduhan mengemukakan pernyataan palsu itu berkaitan RM6.014 bilion yang terkandung dalam laporan suku tahunan Serba Dinamik berhubung keputusan kewangan disatukan bagi suku tahun dan tahun kewangan berakhir 31 Dis 2020.
Siasatan terhadap syarikat minyak dan gas yang sedang berdepan masalah itu dimulakan Mei 2021, selepas SC menerima laporan daripada firma audit KPMG.
Pada September 2023, Karim ditegur secara terbuka dan didenda Bursa Malaysia atas kegagalan memberi notis sewajarnya berhubung pelupusan kepentingannya dalam Serba Dinamik.
Serba Dinamik dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Jun 2024.
