PETALING JAYA: Iskandar Investment Berhad (IIB) mahu mempercepat pelaksanaan pelaburan di Johor supaya komitmen pelabur dapat diterjemahkan kepada operasi perniagaan sebenar yang mewujudkan pekerjaan dan mengukuhkan ekonomi tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Idzham Mohd Hashim berkata langkah diumumkan dalam Belanjawan 2027, termasuk insentif cukai, pembangunan bakat dan penambahbaikan pengangkutan, mampu meningkatkan daya tarikan Johor sebagai destinasi pelaburan bernilai tinggi.
“Belanjawan 2027 menjadikan Johor lebih menarik sebagai destinasi pelaburan. Insentifnya jelas, agenda kesalinghubungan terus bergerak dan penekanan terhadap bakat adalah tepat.
“Tanggungjawab kami ialah mempercepat proses daripada minat dan komitmen pelabur kepada operasi sebenar yang menggaji rakyat Malaysia, mengukuhkan rantaian tempatan dan mencipta nilai berkekalan,” katanya dalam kenyataan.

Antara langkah diumumkan ialah penambahbaikan insentif Hab Perkhidmatan Global (GSH) yang menawarkan kadar cukai 5% ke atas pendapatan layak bagi syarikat baharu yang memenuhi syarat.
Idzham berkata insentif itu berpotensi menarik lebih banyak syarikat antarabangsa menjalankan operasi serantau di Malaysia, termasuk dalam bidang kewangan, teknologi, pengurusan data dan perniagaan.
Menurutnya, langkah itu turut menyokong perkembangan sektor perkhidmatan perniagaan global (GBS) di Medini serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang merekodkan pelaburan RM132 bilion antara 2025 hingga Jun 2026.
Beliau berkata pelancaran pelan induk dan rangka tindakan JS-SEZ yang dirancang menjelang akhir tahun ini juga dijangka memberikan hala tuju lebih jelas kepada syarikat yang mahu memulakan atau mengembangkan operasi di Johor.
Dalam aspek pekerjaan, Idzham berkata pembangunan bakat perlu seiring dengan keperluan industri bagi memastikan pelaburan baharu dapat menghasilkan peluang kerjaya berkualiti dan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Latihan mesti bergerak seiring dengan keperluan industri. Majikan perlu membantu menjelaskan kemahiran yang mereka perlukan, manakala institusi pendidikan dan agensi bakat perlu menyediakan laluan kerjaya yang jelas,” katanya.
Johor menerusi Pelan Transformasi Ekonominya menyasarkan lebih 200,000 pekerjaan baharu berkualiti menjelang 2030, manakala Belanjawan 2027 memperuntukkan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta RM3 bilion melalui HRD Corp di seluruh negara.
Dalam pada itu, Idzham berkata sokongan terhadap sistem transit aliran autonomi bertingkat (e-ART) di Johor Bahru, penambahbaikan perkhidmatan bas dan rel komuter serta bantuan perumahan turut penting untuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir.
Katanya, kemudahan pengangkutan, perumahan berhampiran tempat kerja, pendidikan dan penjagaan kesihatan menjadi antara pertimbangan syarikat ketika memilih lokasi operasi.
IIB menerusi GBS Iskandar@Medini, Tech Medini dan EduCity menyediakan ekosistem perniagaan serta pembangunan bakat bagi menyokong pelabur, dengan Medini menarik 47 syarikat GBS dan mewujudkan kira-kira 7,200 pekerjaan sejak 2013.
Idzham berkata IIB akan terus membantu pelabur mempercepat pelaksanaan projek supaya pertumbuhan pelaburan di Johor turut memberikan manfaat kepada pekerja, perniagaan tempatan dan masyarakat setempat.
