Kes saman difailkan pemain badminton profesional Lee Zii Jia terhadap syarikat dan ahli keluarganya berhubung pengurusan syarikat selesai secara baik di Mahkamah Tinggi.
KUALA LUMPUR: Kes saman difailkan pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terhadap syarikatnya, LZJ Management Sdn Bhd serta keluarga berjaya diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Saman pemula itu difailkan Zii Jia, 28, terhadap LZJ Management, bapanya Lee Chee Hin, 59, kakaknya Zii Yii, 30, serta adik lelaki, Tao, 25, berhubung pengurusan dan kewangan syarikat berkenaan.
Peguam Ahmad Zayd Ahmad Zuber, yang mewakili Zii Jia memaklumkan kepada Hakim Leong Wai Hong bahawa pihak-pihak telah mencapai penyelesaian dan memohon mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan terma-terma dipersetujui.
Ahmad Zayd yang membacakan deraf persetujuan berkata pihak-pihak bersetuju bahawa suatu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) responden pertama (LZJ Managemnet) akan diadakan pada 31 Okt 2026, selaras dengan Notis Mesyuarat Agung Luar Biasa bertarikh 16 Okt 2026 dan kos EGM akan ditanggung oleh responden pertama.
“Sementara menunggu pelupusan EGM, responden kedua dan ketiga (Chee Hin dan Zii Yii), sama ada secara sendiri, melalui ejen atau mana-mana pihak yang bertindak bagi pihak mereka, dihalang daripada meluluskan, membayar, mengeluarkan atau menyebabkan pembayaran fi pengarah, elaun, bonus, ganjaran atau manfaat kewangan (kecuali gaji bulanan, yang dikira bermula 1 Sept 2026) kepada diri mereka sendiri daripada responden pertama,” katanya.
Ahmad Zayd berkata responden kedua dan ketiga turut dihalang daripada meluluskan, menandatangani, mengesahkan apa-apa resolusi lembaga pengarah atau resolusi syarikat berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset material, penerbitan saham baharu, perubahan struktur pemegangan saham atau apa-apa keputusan yang memberi kesan terhadap pengurusan, pentadbiran atau kawalan responden pertama, tanpa kebenaran daripada mahkamah selain tiada perintah terhadap kos.
Selepas peguam membacakan deraf persetujuan, Hakim Leong meminta Zii Jia supaya tampil ke hadapan mahkamah untuk mengesahkan terma persetujuan berkenaan.
“Walaupun beliau terkenal, kita perlu memeriksa MyKadnya dan memastikan sama ada beliau orang yang sama atau tidak,” kata hakim itu yang disambut dengan gelak tawa pihak media dan orang awam yang hadir di mahkamah.
Hakim Leong: Adakah anda bersetuju dengan terma persetujuan itu?
Zii Jia: Ya, saya bersetuju.
Mahkamah kemudian memanggil Chee Hin dan Tao untuk mengesahkan mengenai terma persetujuan dan kedua-dua responden memaklumkan bersetuju dengan terma persetujuan berkenaan manakala peguam Andrian Ng Chen Yip memaklumkan seorang lagi anak guamnya, Zii Yii berada di luar negara dan beliau turut bersetuju dengan perintah tersebut.
“Terima kasih kepada pihak-pihak kerana menyelesaikan kes ini secara baik. Ini baik untuk semua pihak dan semua orang boleh meneruskan kehidupan masing-masing,” kata Hakim Leong.
Pada prosiding hari ini, peguam Samantha Cheng mewakili LZJ Management.
Dalam saman pemula difailkan pada 2 Julai lepas, Zii Jia yang merupakan pemegang saham majoriti LZJ Management berkata beliau telah mengambil langkah untuk mengadakan EGM bagi membincangkan hal ehwal pengurusan dan tadbir urus syarikat, namun usaha itu tidak berhasil.
Zii Jia mempunyai pegangan saham sebanyak 90 peratus syarikat tersebut, manakala Zii Yii memegang sembilan peratus dan Lee Tao memegang satu peratus.
Oleh itu, pemohon memohon supaya EGM diadakan dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah mahkamah dan mesyuarat itu diteruskan walaupun mana-mana ahli syarikat, pengarah atau setiausaha syarikat tidak hadir atau enggan hadir.
