KOTA KINABALU: Ibu kepada Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau bersetuju dengan penjelasan pakar perubatan bahawa kesan lebam pada bahagian belakang tubuh anaknya yang dilihat ketika memandikan jenazah bukan berpunca daripada pukulan, sebaliknya akibat darah beku.
Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-82 prosiding inkues itu berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh doktor pada 10 Ogos tahun lepas selepas menyuarakan kebimbangan bahawa lebam tersebut mungkin akibat dipukul dengan objek tumpul.
Ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah sama ada kesan lebam itu bukan akibat pukulan tetapi disebabkan darah beku seperti penjelasan doktor, Noraidah menjawab: "Betul tuan."
Beliau turut mengakui tiada seorang pun doktor yang merawat Zara Qairina pernah mengesahkan kepadanya berlaku kecederaan akibat pukulan objek tumpul, seperti yang didakwa menerusi kenyataan media peguam keluarganya pada 3 Ogos tahun lepas.
Bagaimanapun, Noraidah menjelaskan kenyataan media berkenaan dikeluarkan susulan laporan polis dibuatnya di IPD Sipitang bagi meminta siasatan lanjut berhubung kesan lebam yang dilihat ketika memandikan jenazah anaknya pada 17 Julai 2025.
Beliau berkata langkah tersebut diambil kerana pihak keluarga ketika itu belum menerima sebarang penjelasan jelas daripada pihak penyiasat mengenai keadaan sebenar yang menimpa Zara, sekali gus menimbulkan pelbagai persoalan berhubung kematiannya.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak pernah membuat kesimpulan sendiri bahawa anaknya dipukul menggunakan objek tumpul, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk disiasat.
Zara meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.
Prosiding inkues bersambung petang ini.
