GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa terdapat empat alasan utama bagi pihak pendakwaan memohon supaya empat tertuduh dalam kes pembunuhan remaja, T Nhaveen, sembilan tahun lepas disabitkan kesalahan, dengan mendakwa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari berkata antara alasan itu ialah percanggahan antara versi pembelaan ketika kes pihak pendakwaan dengan keterangan tertuduh pada peringkat membela diri pada minggu lepas.
Beliau berkata pembelaan kempat-empat tertuduh berubah apabila mereka memberi keterangan sendiri, khususnya berhubung dakwaan seorang daripada mereka, yang merupakan remaja ketika kejadian, dipukul menggunakan topi keledar sehingga pengsan oleh T Previin (rakan Nhaveen), ketika cuba meleraikan pergaduhan.
Amril menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai difikirkan kemudian kerana tidak dibangkitkan lebih awal. Katanya, percanggahan dalam keterangan tertuduh menimbulkan persoalan terhadap kredibiliti pembelaan.
"Alasan pembelaan pada peringkat kes pendakwaan bercanggah dengan pembelaan pada peringkat sekarang," katanya pada perbicaraan pembelaan empat individu atas pertuduhan membunuh Nhaveen.
"Teori pendakwaan juga langsung tidak mempertikaikan kewujudan mereka (tertuduh) di kedua-dua tempat kejadian, iaitu Jalan Kaki Bukit dan Padang Openg, Gelugor."
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan laporan perubatan bagi menyokong dakwaan tertuduh yang mengalami kecederaan sehingga pengsan.
Amril meminta mahkamah meneliti perbezaan antara alasan penghakiman ringkas Mahkamah Rayuan, yang mengarahkan empat tertuduh membela diri, dengan alasan penghakiman penuh dalam rayuan berkaitan seorang lagi responden iaitu S Gopinaath, 35, yang dilepas dan dibebaskan.
Peguam, Maanveer Singh Dhillon, yang mewakili keempat-empat tertuduh berhujah bahawa masih terdapat keraguan munasabah mengenai bagaimana dan lokasi kecederaan yang membawa kepada kematian Nhaveen berlaku.
Beliau berkata Nhaveen masih hidup selepas kejadian di Jalan Kaki Bukit dan menaiki motosikal bersama-sama individu yang dikenali sebagai 'Belang', namun apa yang berlaku selepas itu tidak dapat dipastikan, berdasarkan keterangan yang dikemukakan di mahkamah.
Maanveer berkata keterangan saksi pendakwaan dan bukti perubatan perlu dinilai secara menyeluruh, termasuk persoalan sama ada kecederaan yang dialami Nhaveen berlaku di lokasi pergaduhan atau selepas beliau dibawa pergi.
Beliau turut mempersoalkan perbezaan jumlah individu yang dikatakan terlibat dalam kejadian berdasarkan beberapa versi keterangan.
Beliau menegaskan bahawa pihak pembelaan tidak menafikan berlakunya pergelutan di Jalan Kaki Bukit tetapi mempertikaikan sama ada kejadian itu menyebabkan kematian Nhaveen.
Hakim Radzi Abdul Hamid menetapkan 16 Nov depan untuk pengurusan kes bagi membolehkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan tambahan, sebelum tarikh keputusan ditetapkan.
Empat tertuduh iaitu Ragesuthan, S Gokulan, 27, dan dua lagi individu yang merupakan remaja ketika kejadian telah memberikan pernyataan saksi pada 8 dan 9 Okt.
Pendakwaan dikendalikan Amril, Yazid Mustaqim Roslan dan Noor Azura Zulkiflee. Keempat-empat tertuduh diwakili Maanveer, R Thevan dan Lim Sheng Zhe.
T Gunaseelan menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Nhaveen.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan Ragesuthan, Gokulan dan dua remaja membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan mereka pada 3 Okt 2023.
Mereka juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan Previin berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor antara 11 malam hingga 12 tengah malam 9 Jun 2017.
Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang, akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian berkenaan.
