PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menambah baik Polisi Perlindungan Murid agar pelaksanaannya praktikal tanpa menjejaskan matlamat melindungi keselamatan dan kesejahteraan murid.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek juga berkata sebarang isu atau kebimbangan yang dibangkitkan oleh guru berhubung pelaksanaan polisi itu akan diteliti serta ditangani menerusi saluran pentadbiran yang bersesuaian.
"KPM sedang meneliti dan menambah baik aspek pelaksanaan Polisi Perlindungan Murid Sekolah tersebut, termasuk dokumen komitmen yang berkaitan dengan mengambil kira maklum balas daripada pihak pelaksana polisi dan pihak berkepentingan," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berhubung status terkini penandatanganan Surat Aku Janji Kepatuhan Polisi Perlindungan Murid Sekolah, serta tindakan KPM terhadap guru yang enggan atau belum menandatanganinya.
Fadhlina berkata status penandatanganan surat aku janji semata-mata bukan ukuran tahap komitmen guru terhadap perlindungan murid.
"Keutamaan kementerian adalah untuk memastikan setiap warga pendidikan memahami dan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyediakan persekitaran sekolah yang selamat.
"Bagi mana-mana guru yang masih belum atau enggan menandatangani surat berkenaan, KPM mengambil pendekatan dengan memberikan penjelasan dan kefahaman terlebih dahulu mengenai tujuan, skop, serta pelaksanaan polisi berkenaan," katanya.
Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dilaporkan menggesa KPM menggantikan keperluan menandatangani dokumen 'aku janji' kepatuhan polisi kepada ikrar komitmen bersama.
Setiausaha Agung Fouzi Singon berkata langkah mengikat guru menerusi dokumen bertulis sedemikian berpotensi mencetuskan isu perundangan pada masa hadapan.
Katanya lagi, peraturan sedia ada sudah memadai memandangkan guru dan ibu bapa sedia maklum tanggungjawab masing-masing.
