KUALA LUMPUR: Hadi Awang (PAS-Marang) mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memilih penasihat yang berani menegur kesilapan, bukannya pengampu hanya mementingkan diri sendiri.
Presiden PAS berkata, penasihat yang baik perlu mengingatkan pemimpin apabila tersilap dan membantu apabila pemimpin mahu melakukan perkara yang betul.
“Kalau pemimpin itu lupa diperingatkan, kalau dia (penasihat) ingat, dia diberi pertolongan (kepada perdana menteri),” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Beliau memberi amaran penasihat yang tidak berani menegur pemimpin boleh membawa kerosakan kepada negara.
“Jangan bergantung pada pengampu-pengampu. Ini boleh merosakkan negara,” katanya.
Menyentuh belanjawan, Hadi mempersoalkan peningkatan defisit, hutang negara dan cukai, sambil menegaskan keberkesanan belanjawan perlu diukur berdasarkan manfaat kepada rakyat, bukan keuntungan kerajaan, syarikat korporat atau kroni.
Beliau turut memberi amaran hutang negara perlu diteliti, khususnya pembiayaan yang melibatkan amalan riba.
“Selagi riba ini menjadi penyakit, selama itulah penyakit hutang tak dapat diubati,” katanya.
Selain itu, Hadi membangkitkan kenaikan harga barang keperluan serta kegiatan kartel dan orang tengah yang didakwanya terus membebankan rakyat jika tidak ditangani dengan berkesan.
Dalam isu pendidikan, beliau mendakwa sistem negara terlalu menumpukan pencapaian akademik sehingga mengabaikan pembentukan akhlak, kerohanian dan nilai kemanusiaan.
Hadi mengaitkan kelemahan pendidikan nilai dengan masalah sosial seperti buli, keganasan dan pembunuhan.
