PETALING JAYA: Seorang guru cedera selepas seorang pelajar didakwa melancarkan serangan di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak menggunakan pisau.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak dipetik Utusan Sarawak berkata, senjata yang digunakan ialah pisau pena, bukannya kapak seperti didakwa.
Sinar Harian pula memetik pihak pengurusan sekolah berkata, seoang guru cedera ketika cuba merampas pisau daripada pelajar terbabit.
Pihak sekolah memaklumkan pelajar berusia 16 tahun itu telah ditahan dan dibawa ke pejabat pengetua, di mana dia kini dipantau sementara menunggu tindakan lanjut, manakala ibu bapa pelajar itu turut dihubungi.
Mereka berkata, guru itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan tiada kecederaan lain dilaporkan.
Sekolah turut ditutup serta-merta untuk polis menjalankan siasatan.
Saifullizan berkata, maklumat lanjut kejadian itu akan diberikan Ketua Polis Kuching, Alexson Naga Chabu.
