KUALA LUMPUR: Shafie Apdal (Warisan-Semporna) menggesa kerajaan melahirkan lebih ramai doktor tempatan melalui institusi pengajian tinggi di Sabah bagi menangani kekurangan tenaga profesional kesihatan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata usaha itu perlu disertai dengan peluasan latihan kepakaran bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga profesional dari luar serta meningkatkan akses penduduk, khususnya di kawasan luar bandar, kepada perkhidmatan kesihatan.
Shafie turut menyokong penubuhan fakulti pergigian di universiti di Sabah atau Sarawak bagi menangani kekurangan tenaga profesional dalam bidang berkenaan.
“(Kita perlu) melahirkan lebih ramai doktor tempatan melalui institusi pengajian tinggi di Sabah, termasuk memperluas latihan dalam bidang kepakaran yang masih kekurangan tenaga profesional,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Isu kekurangan doktor di Sabah dan Sarawak mendapat perhatian baru-baru ini selepas media melaporkan ramai pegawai perubatan yang ditawarkan pelantikan tetap gagal melapor diri untuk penempatan di kedua-dua negeri.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada 8 Oktober lalu berkata 336 daripada 528 pegawai perubatan yang ditawarkan penempatan di Sabah telah melapor diri, manakala 337 daripada 527 orang berbuat demikian di Sarawak. Secara keseluruhan, 63% daripada mereka yang ditawarkan penempatan di kedua-dua negeri melapor diri.
Dzulkefly berkata antara faktor pegawai perubatan menolak penempatan itu ialah berjauhan dengan keluarga, tidak bersedia bertukar ke kawasan luar bandar serta kecenderungan untuk berkhidmat di fasiliti kesihatan di bandar.
Dalam pada itu, Shafie mempersoalkan keberkesanan perbelanjaan pembangunan di Sabah yang menurutnya masih belum menyelesaikan masalah asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya meskipun sejumlah besar peruntukan telah disalurkan.
Beliau berkata, berdasarkan angka yang dibentangkan, perbelanjaan kerajaan Sabah dari 2021 hingga 2026 berjumlah RM32 bilion, manakala perbelanjaan kerajaan persekutuan bagi tempoh sama mencecah RM87 bilion.
“Saya minta supaya ada KPI setiap belanjawan yang dibentangkan... sama ada pembekalan swasta atau pembayaran kerajaan,” katanya.
Beliau turut menggesa tindakan diambil terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, sambil menyifatkan kelewatan projek yang bermula sejak 2016 itu tidak sepatutnya terus berlarutan.
Katanya, laporan audit berkaitan pelaksanaan projek berkenaan perlu diteliti dan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan projek infrastruktur disiapkan mengikut perancangan.
Mengenai subsidi, Shafie mencadangkan kerajaan menilai semula penggunaan peruntukan subsidi bahan api dengan menyalurkan sebahagiannya kepada pembangunan jalan raya dan pengangkutan awam, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kekurangan pengangkutan awam dan keadaan jalan raya yang kurang memuaskan menyebabkan penduduk di kedua-dua negeri terpaksa bergantung kepada kenderaan sendiri, termasuk pacuan empat roda.
“Kenapa perlu pacuan empat roda di Sabah dan Sarawak? Kerana jalan raya dan pengangkutan awam tidak membolehkan rakyat bergerak dengan mudah,” katanya.
Menurutnya, pelaburan dalam pengangkutan awam dan rangkaian rel boleh menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah perhubungan penduduk, selain mengurangkan kebergantungan terhadap subsidi yang disifatkannya tidak mampan jika tidak diurus dengan baik.
