PETALING JAYA: Langkah Umno mendiamkan diri mengenai kemungkinan pakatan dengan PAS berbaki kurang dua minggu sebelum penamaan calon PRN Melaka dilihat mahu menguji kekuatan pilihan rayanya secara solo, kata penganalisis.
Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, prestasi Umno pada PRN Melaka berkemungkinan membentuk keputusannya sama ada mahu menubuhkan pakatan pilihan raya di peringkat kebangsaan, menjelang PRU16.
"Sekiranya Umno boleh menang sendiri, mereka akan berada pada kedudukan lebih baik menentukan sejauh mana parti itu memerlukan PAS pada PRU16," katanya kepada FMT.

Mazlan turut berkata, Umno teragak-agak membentuk pakatan dengan PAS pada PRN Melaka 14 Nov ini kerana yakin dapat mengekalkan 21 kerusi dimenanginya dalam PRN 2021, selain melihat tidak banyak keperluan berkompromi.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi, menyatakan walaupun Umno berhasrat mempertahankan 21 kerusi, parti terbuka berunding dengan rakan kongsi berpotensi melibatkan baki tujuh DUN.
Zahid yang juga presiden Umno berkata, parti itu turut terbuka kepada potensi pertukaran kerusi.
Mazlan berkata, kebimbangan utama adalah sama ada pertukaran kerusi ini akan melibatkan kawasan kubu kuat PAS, serta mempersoalkan berapa banyak kerusi yang sanggup diserahkan PAS kepada BN.

Hisommudin Bakar yang mengetuai badan pemikir Ilham Centre, mengaitkan sikap berdiam diri Umno dengan kebimbangan sama ada kerjasama akan menguntungkan BN atau memperkasakan PAS, yang berebut kumpulan pengundi Melayu sama.
"Umno perlu menilai sama ada kerjasama akan membantu membangkitkan semula parti itu atau memberi dorongan kepada PAS."
Hisommudin berkata, kemenangan BN baru-baru ini pada PRN Johor dan Negeri Sembilan sebahagiannya berpunca daripada penyokong PAS yang menolak Pakatan Harapan (PH).
Di Johor, BN menang 48 daripada 56 kerusi dipertandingkan, manakala di Negeri Sembilan gabungan itu meraih 18 daripada 25 DUN ditandingi.
"Persoalannya ialah sama ada BN boleh mengekalkan kerusinya tanpa sokongan pengundi PAS," katanya, sambil menambah dengan bergerak solo, BN berdepan risiko persaingan tiga penjuru yang menyumbang parti itu hilang kerusi pada PRU 2018 dan 2022.
Namun, Hisommudin berkata, sikap berdiam diri Umno membolehkan parti berkenaan kekal mempunyai pilihan terbuka, sambil menimbang kebaikan dan keburukan pakatan dengan mana-mana parti serta perundingan pembahagian kerusi.

Jayum Jawan daripada Akademi Sains Malaysia berkata, Umno tidak mempunyai banyak sebab untuk mencari pakatan susulan kejayaan BN di Johor dan Negeri Sembilan, sambil menambah parti itu nampaknya 'kembali bangkit'.
Beliau berkata, pakatan bersama PAS mampu merencatkan kebangkitan semula Umno apabila memaksa parti itu menyerahkan kerusi berpotensi dimenanginya.
Jayum turut menolak tanggapan Umno takut kepada PAS sebagai pesaing nasional, walaupun beliau mengakui PAS mempunyai pengaruh menuntut konsesi dalam perundingan akan datang.
"Sudah tentu tiada parti politik yang mahu menyerahkan kerusi kepada rakan kongsi baharu, terutamanya apabila ia percaya mampu memenangi kerusi atas kekuatan sendiri."
