PETALING JAYA: Seorang lelaki warga China yang menaiki penerbangan dari Pulau Pinang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong hari ini kerana disyaki cuba menyeludup dadah jenis kokain seberat 2.2kg dalam bagasinya.
Ini adalah kes kedua membabitkan warga China yang ditahan membawa dadah dari Pulau Pinang ke Hong Kong selepas seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan pada Khamis lalu, lapor Berita Harian.
Jabatan Kastam Hong Kong dalam kenyataan memaklumkan, suspek berusia 39 tahun itu ditahan ketika pemeriksaan kastam yang menemukan dadah dianggarkan bernilai HK$1.3 juta (kira-kira RM700,000) mengikut harga pasaran.
"Pemeriksaan terhadap bagasi kabin yang dibawanya menemukan sejumlah bahan disyaki kokain, sekali gus membawa kepada penahanan lelaki terbabit.
"Suspek kemudian didakwa atas satu pertuduhan mengedar dadah berbahaya dan kes itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Kowloon Barat esok," kata kenyataan itu.
Mengikut Ordinan Dadah Berbahaya Hong Kong, kesalahan mengedar dadah berbahaya boleh membawa hukuman maksimum denda HK$5 juta dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
