Pengenalan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125.
Follow kami di WhatsApp Channels, Telegram, Instagram dan TikTok SAYS Seismik, jadi antara yang terawal untuk dapatkan berita serta artikel-artikel menarik.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam telah memperkenalkan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah sebagai antara kemudahan yang disediakan
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KWSP, ahli Simpanan Shariah beragama Islam boleh memilih kemudahan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah untuk menunaikan kewajipan zakat tahunan mereka, dengan bayaran zakat dipotong secara terus daripada dividen tahunan Simpanan Shariah selepas dividen diisytiharkan.
KWSP akan bertindak sebagai wakil untuk menyalurkan bayaran zakat bagi pihak ahli kepada pihak berkuasa zakat negeri berdasarkan negeri tempat ahli bekerja. Ahli Simpanan Shariah beragama Islam yang tidak memilih kemudahan ini boleh terus menunaikan kewajipan zakat secara individu, manakala ahli bukan beragama Islam tidak tertakluk kepada zakat.
KWSP memaklumkan pengenalan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-125, yang memutuskan bahawa Simpanan Shariah tertakluk kepada kewajipan zakat tahunan, memandangkan simpanan tersebut memenuhi ciri pemilikan sempurna dan pencarum berhak untuk berurusan melalui akad Wakalah dengan KWSP.
Muzakarah tersebut turut memutuskan bahawa zakat yang perlu dibayar ke atas Simpanan Shariah ialah zakat perniagaan, dan KWSP boleh menguruskan pembayarannya bagi pihak pencarum.

Zakat akan dikira terlebih dahulu secara kolektif (khultah) pada setiap tahun kewangan berakhir 31 Disember
Ia menggunakan kaedah modal kerja terlaras bagi menentukan asas zakat Simpanan Shariah yang dikenakan zakat pada kadar 2.577%1. Kewajipan membayar zakat perniagaan ke atas Simpanan Shariah akan dibahagikan kepada ahli beragama Islam secara pro-rata berdasarkan Kadar Zakat Ahli yang ditentukan berdasarkan jumlah agihan dividen tahunan Simpanan Shariah.
Jumlah zakat bagi setiap ahli yang memilih kemudahan ini yang ditentukan berdasarkan Kadar Zakat Ahli akan dipotong daripada dividen tahunan Simpanan Shariah ahli selepas dividen diisytiharkan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata Pengenalan Zakat Perniagaan Simpanan Shariah merupakan satu penambahbaikan penting kepada Simpanan Shariah dengan menyediakan cara yang lebih mudah kepada ahli untuk menunaikan kewajipan zakat ke atas simpanan persaraan mereka.
"Bagi ahli yang memilih kemudahan ini, KWSP menguruskan proses pengiraan dan pembayaran zakat, sekali gus memudahkan urusan menunaikan kewajipan zakat tahunan. Ini membolehkan ahli menumpukan perhatian kepada usaha membina simpanan persaraan mereka.
"Pada masa yang sama, kemudahan ini mencerminkan komitmen kami untuk terus memperkukuh penawaran Simpanan Shariah dengan memastikan kemudahan yang disediakan selaras dengan tadbir urus Syariah serta memenuhi keperluan ahli," katanya.

Kemudahan yang menyediakan pendekatan menyeluruh bagi zakat ke atas Simpanan Shariah dengan membenarkan KWSP menguruskan pembayaran zakat bagi pihak ahli
Menurut KWSP, simpanan yang telah layak untuk pengeluaran, termasuk simpanan dalam Akaun Fleksibel, tidak memerlukan bayaran zakat berasingan oleh ahli di bawah Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.
Pendekatan ini lebih jelas dan memudahkan ahli yang memilih kemudahan ini kerana tidak perlu lagi menentukan sendiri kaedah dan jumlah zakat bagi simpanan KWSP mereka secara berasingan.
Ahli Simpanan Shariah beragama Islam yang ingin memilih kemudahan ini boleh membuat pilihan tersebut melalui KWSP i-Akaun (Ahli), Self-Service Terminal (SST), atau di pejabat KWSP seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut, ahli boleh melayari laman web KWSP dan merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) mengenai Zakat Perniagaan Simpanan Shariah.
Like Facebook, follow Twitter dan Instagram SAYS Seismik serta temui segala cerita 'mesti kongsi' sekarang!

FOLLOW SAYS
