PETALING JAYA: Dua peguam menggesa kerajaan agar membawa pulang pembunuh yang disabitkan kesalahan, Sirul Azhar Umar, dari Australia bagi membuka semula kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu, yang 'belum selesai'. Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan pada 2006.
Bekas peguam negara, Tommy Thomas, berkata Malaysia hanya memerlukan 30 minit untuk memastikan Sirul dapat diektradisi. Sirul melarikan diri ke Australia pada 2015.
"Malaysia hanya perlu memberikan aku janji kepada Australia bahawa Sirul tidak akan berdepan hukuman mati sekembalinya dia. Menteri luar, menteri dalam negeri dan peguam negara mesti duduk bersama dan menulis surat kepada rakan sejawat di Australia," kata Thomas.
"Ia semudah itu -- surat yang boleh ditulis dalam masa setengah jam. Saya fikir tiada iltizam politik. Mereka lebih suka ia menjadi sebahagian daripada sejarah dan mahu semua orang melupakannya. Tetapi ia tidak boleh dilupakan."
Kes Altantuya menjadi perhatian apabila perincian yang terdedah mengaitkan wanita itu dengan Abdul Razak Baginda, seorang pembantu kepada menteri pertahanan ketika itu, Najib Razak, spekulasi mengenai penglibatannya dalam perjanjian kapal selam antara Perancis dan Malaysia, serta mesej antara Razak dan Musa Safri, seorang lagi pegawai pembantu kepada Najib.
Thomas dan peguam, Sangeet Kaur Deo, yang mewakili keluarga Altantuya, berkata ekstradisi Sirul akan membolehkan pihak berkuasa Malaysia mengesahkan dakwaan Sirul mengenai pembunuhan itu, yang dibuat dalam akuan berkanun semasa dia ditahan oleh imigresen Australia.
Bercakap kepada Al Jazeera dalam dokumentari 'Murder in Malaysia – Justice for Altantuya' yang ditayangkan hari ini, Thomas dan Sangeet berkata dakwaan Sirul dalam akuan berkanun -- dan dakwaan oleh rakan subahatnya, Azilah Hadri, dalam akuan berasingan -- mesti disahkan bagi membuka semula kes tersebut.
Thomas dan Sangeet berkata dua orang itu patut berdepan tindakan kerana membuat akuan palsu sekiranya dakwaan mereka tidak benar.

Sirul melarikan diri ke Australia untuk memohon suaka sebelum Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya. Permohonan suakanya ditolak pada 2019 dan dia ditahan sehingga tahun 2023, apabila dia dibebaskan ke dalam masyarakat; bagaimanapun, dia tidak boleh dihantar pulang ke Malaysia kerana undang-undang Australia menghalang penghantaran pulang sekiranya pemohon akan berdepan hukuman mati.
Susulan pemansuhan hukuman mati mandatori di Malaysia dan hukuman Azilah diringankan kepada 40 tahun penjara, Thomas berkata tiada sebab Sirul tidak boleh diektradisi.
Tiada jawapan daripada AG
Sangeet berkata beliau telah menulis surat kepada peguam negara tetapi tidak menerima sebarang maklum balas. "Adalah menjadi kewajipan mereka untuk menjawab," katanya.
Jika Sirul berbohong dalam afidavit maka tindakan patut diambil, katanya. "Jika dia betul, sesuatu juga patut dilakukan. Tugas saya hanya meminta ia disiasat," katanya kepada Al Jazeera.
Beliau berkata keluarga Altantuya ingin Malaysia dan Australia mencari jalan penyelesaian yang sah di sisi undang-undang melalui mahkamah dan diplomasi, agar kebertanggungjawaban akhirnya ditegakkan. "Kita mesti meleraikan kebuntuan ini, kerana kebuntuan itu suatu ketidakadilan."
Beliau berkata soalan yang paling ketara ialah mengapa Azilah, seorang komando polis, menerima arahan daripada Razak yang bukannya pegawai atasannya. "Soalan itu belum terjawab dan patut disiasat."
Sangeet mengambil maklum bahawa Razak, yang dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, mempunyai peluang untuk menyatakan secara bersumpah bahawa kedua-dua lelaki itu bertindak bersendirian, semasa perbicaraan saman sivil yang difailkan oleh bapa Altantuya, Shaariibuu.
"Beliau memilih untuk tidak mengambil peluang itu."

Mesej kepada Musa Safri
Dokumentari itu mendedahkan mesej teks yang dihantar oleh Razak kepada pembantu Najib, Musa, pada malam sebelum pembunuhan Altantuya.
Pada pukul 9.35 malam, Razak menulis: "Did you get my SMS about wanting to meet at DPM’s office?" Tiga minit kemudian: "When will you be there? I can drop by in the morning. Tks."
Razak mencadangkan pertemuan di pejabat timbalan perdana menteri (ketika itu Najib), kata Americk Singh Sidhu, peguam kepada P Balasubramaniam, seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak untuk memantau pergerakan Altantuya.
"Saya tertanya-tanya mengapa dan untuk tujuan apa. Musa mengatur Azilah dan Sirul untuk Razak, tetapi mengapa melibatkan timbalan perdana menteri?"
Beliau percaya fail pasukan petugas khas yang ditubuhkan Thomas semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018–2020 patut dibuka semula, memandangkan temu bual dengan 40 saksi telah dijalankan berkaitan akuan berkanun Sirul pada 2019.
"Saya fikir ini adalah kes di mana kebenaran mesti dijelmakan. Kebenaran adalah mangsa dalam hal ini. Jelas sekali terdapat kepentingan tertentu, kuasa yang kuat. Atas apa jua sebab, mereka tidak mahu kebenaran dijelmakan, jadi mesti ada tekanan awam."
Bapa Altantuya, Shaariibuu Setev, seorang profesor dari Mongolia, terbang ke Malaysia lebih daripada 20 kali untuk menuntut keadilan bagi anaknya, dan berikrar tidak akan henti berusaha mencari lelaki yang mengarahkan anggota polis terbabit membunuhnya.
Pada Jun, perdana menteri baharu Mongolia, Nyam-Osoryn Uchral, memperakui kesengsaraan dan kesusahan kewangan yang ditanggung Shaariibuu dan mengurniakan sebuah pangsapuri kepadanya.

Dokumentari penuh boleh ditonton di pautan ini.
