Polis Selangor menemui 20.6kg dadah di stor sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang. Seorang pembantu separuh masa ditahan bagi membantu siasatan
SHAH ALAM: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang, dekat sini sebagai tempat penyimpanan menerusi operasi di sekitar Selangor dari 13 hingga 19 Okt.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai pembantu separuh masa di rumah ibadat itu bagi membantu siasatan penemuan 20.6 kilogram (kg) dadah di situ.
“Dadah itu ditemukan di dalam stor rumah ibadat dan semakan mendapati tanah di situ digazetkan untuk tapak pembentungan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Shazeli berkata serbuan di Rawang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula menahan tujuh individu serta merampas pelbagai jenis dadah.
Suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta tiga lelaki dan seorang wanita warga asing berusia 19 hingga 48 tahun dengan seorang daripada warga tempatan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau.
Shazeli berkata kes tersebut melibatkan rampasan dadah jenis bunga ganja seberat 81.3 kg, ganja (37 kg), 3,510 kartrij berisi ketamin, 84 botol ekstasi serta ketamin seberat 25.4 kg.
“Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM16.2 juta selain turut melibatkan dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai tempatan serta mata wang asing bernilai RM54,835,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kes berasingan, Shazeli berkata dakwaan mencuri dipercayai menjadi punca seorang pembantu rumah warga asing didera hingga melecur di seluruh badan di Tanjong Sepat, Kuala Langat, baru-baru ini.
Shazeli berkata siasatan awal mendapati wanita itu mula bekerja dengan majikannya pada hujung tahun lepas.
“Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa disyaki mencuri dan merosakkan barang majikan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan tiga wanita antara lima individu yang direman selama empat hari bermula 20 Okt bagi membantu siasatan kes itu yang dipercayai berlaku pada 16 Okt.
