PETALING JAYA: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menzahirkan Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17, dalam istiadat di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Istiadat penuh tradisi itu turut disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Zafir Ibrahim serta ketua jabatan kerajaan negeri.
Turut berangkat, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, dan Tunku Panglima Besar Tunku Zain al-'Abidin.
Tuanku Muhriz dalam titahnya berkehendak institusi Raja hendaklah dipelihara berlandaskan integriti, keadilan dan tanggungjawab.
Justeru, baginda bertitah supaya sebarang pertikaian berkaitan kedudukan atau pewarisan takhta mestilah diselesaikan berdasarkan adat dan undang-undang yang berkenaan, bukannya mengikut kepentingan atau kehendak peribadi.
“Sehubungan itu, pihak-pihak yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini mengambil tindakan sehingga menimbulkan pertikaian terhadap aturan warisan atas alasan mempertahankan adat perlu memahami bahawa adat tidak boleh dipertahankan dengan melanggar aturan adat itu sendiri.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan kewibawaan institusi adat dan istana, malah berisiko menggugat kestabilan negeri serta menghakis kepercayaan rakyat,” titah baginda menurut Bernama.
Baginda turut bertitah supaya sejarah dijadikan pedoman dan iktibar selain mengingatkan agar kepentingan diri tidak mengatasi kebenaran dan keadilan sehingga keselamatan, kesejahteraan serta warisan yang dipelihara turun-temurun menjadi korban.
“Adat bukan sekadar warisan untuk dibanggakan tetapi amanah yang wajib dipelihara dan dipertahankan dengan tanggungjawab. Masa depan dan kestabilan negeri bergantung pada kesediaan kita menghormati adat, mematuhi undang-undang, dan meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi demi generasi akan datang,” titah baginda.
