PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said untuk meneruskan rundingan lanjut berhubung rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri serta mengasingkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya, susulan maklum balas daripada Majlis Raja-Raja.
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, Azalina akan mengadakan sesi libat urus dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang terlibat dalam penggubalan pindaan perlembagaan berkenaan.
Fahmi memaklumkan, Anwar telah memberi taklimat kepada Jemaah Menteri hari ini mengenai persembahan RUU tersebut kepada Raja-Raja Melayu serta maklum balas yang diterima.
“Selepas itu, sebarang pindaan atau penambahbaikan perlu dibawa semula ke Majlis Raja-Raja,” kata menteri komunikasi itu pada sidang media pasca-Kabinet hari ini
Semalam, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja telah meneliti kertas rundingan bagi RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026, yang mencadangkan had tempoh perkhidmatan perdana menteri.
Raja-Raja Melayu turut diberi taklimat mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026, yang bertujuan mengasingkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.
RUU bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri itu dibentangkan buat kali pertama pada 23 Feb lepas, namun gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga yang diperlukan semasa bacaan kali kedua pada 2 Mac apabila kekurangan dua undi.
Sementara itu, RUU untuk mengasingkan peranan peguam negara dengan pendakwa raya kali pertama dibentangkan pada 23 Feb. Bacaan kali keduanya bagaimanapun ditangguhkan pada 14 Julai bagi membolehkan kerajaan membentangkan cadangan pindaan berkenaan kepada Majlis Raja-Raja.
