KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan badminton negara Lee Zii Jia telah menyelesaikan pertikaian dengan bapa dan kakaknya berhubung kewangan serta pengurusan LZJ Management Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini merekodkan penghakiman persetujuan yang menetapkan syarat dipersetujui semua pihak di hadapan Hakim Leong Wai Hong.
Zii Jia ialah pemohon manakala bapanya, Lee Chee Hin, 59, dan adik lelakinya, Lee Tao, 25, masing-masing dinamakan sebagai responden kedua dan keempat. Kakaknya, Lee Zii Yii, 30, ialah responden ketiga, manakala LZJ Management ialah responden pertama.
Zii Yii tidak hadir ke mahkamah kerana berada di luar negara.
Mengikut penghakiman persetujuan itu, semua pihak bersetuju mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 31 Okt, dengan kos ditanggung syarikat berkenaan.
Sehingga EGM diadakan, Chee Hin dan Zii Yii dilarang melalui injunksi daripada meluluskan, membayar atau membenarkan sebarang yuran pengarah, elaun, bonus, ganjaran atau manfaat kewangan lain kepada diri mereka daripada LZJ Management, kecuali gaji bulanan yang dikira mulai 1 Sept 2026.
Mereka juga dilarang meluluskan atau membenarkan resolusi berkaitan pelantikan atau penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset penting, penerbitan saham baharu, perubahan struktur pemegangan saham atau sebarang keputusan yang memberi kesan besar terhadap pengurusan, pentadbiran atau kawalan syarikat tanpa kelulusan mahkamah terlebih dahulu.
Mahkamah tidak memerintahkan sebarang pembayaran kos.
Pada 2 Julai lalu, Zii Jia memfailkan permohonan injunksi interim bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan tertentu berhubung kewangan serta pengurusan syarikat itu.
Peguam Ahmad Zayd Ahmad Zuber mewakili Zii Jia, Samantha Cheng mewakili LZJ Management, manakala Adrian Ng mewakili responden kedua hingga keempat.
