PETALING JAYA: Bekas pengarah Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan salah guna kuasa bernilai RM3.12 juta.
Bagaimanapun, tertuduh Muhammad Hussin, 64, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, pesara itu didakwa sebagai sebagai salah seorang anggota mempengaruhi ahli lembaga Koperasi Siswazah Bangi Berhad (KSBB) bagi melantik syarikat, QTech Management Malaysia Sdn Bhd yang mana dia dikatakan mempunyai kepentingan terhadapnya.
Lantikan itu bertujuan bagi pemberian kontrak pekerjaan mengendalikan program sarjana pendidikan dan diploma pendidikan lepasan ijazah melalui Fakulti Pendidikan UKM bernilai RM3.12 juta, lapor Utusan Malaysia.
Kesalahan itu dilakukan dekat sebuah kolej kediaman di universiti berkenaan dan sebuah hotel di Hulu Langat pada 26 Feb dan 25 Jun 2022.
Bapa sembilan anak itu dituduh bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Selain penjara, tertuduh juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Wafi Anwar Roslan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan dua isteri dan sembilan anak, termasuk seorang bayi berusia 22 hari.
“Dia sudah bersara empat tahun lalu dengan menerima wang pencen bulanan RM8,000. Tertuduh juga menghidap kanser tisu serta penyakit jantung yang memerlukan rawatan berkala.
“Berkenaan syarat penyerahan pasport saya mohon supaya ia tidak dikenakan kerana isteri kedua dan anak berada di Indonesia,” katanya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM80,000 selain tertuduh perlu mematuhi syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 12 Nov.
