KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki berumur 42 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di Beverly Hills, Penampang yang berlaku lebih 17 tahun lepas.
Pemangku Ketua Polis Penampang, Arisanti Aziz berkata suspek ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang di sebuah kediaman sekitar Kolombong, Inanam, di sini pada Khamis lepas.
"Tangkapan dibuat bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang berlaku pada 11 April 2009 di Beverly Hills, Penampang.
"Kejayaan tangkapan ini membuktikan komitmen dan kesungguhan polis dalam membanteras jenayah serta memastikan individu yang disyaki terlibat dalam jenayah serius terus dikesan dan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.
