PETALING JAYA: Dua pemimpin MCA meminta DAP tidak menjadi batu api dengan mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) dalam menyelesaikan isu agihan kerusi pada PRN Melaka.
Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon berkata BN mempunyai mekanisme sendiri untuk menyelesaikan isu itu manakala Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan menegaskan bahawa MCA tidak memerlukan DAP untuk mengajar parti itu mempertahankan prinsip atau menentukan hala tuju politiknya.
Chong berkata DAP sepatutnya fokus menyelesaikan isu dengan Pakatan Harapan (PH) berkait khabar angin berhubung kemungkinan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu pada PRN Melaka.
“DAP tak payah jadi batu api dalam hal ini, sebaliknya patut fokus kepada isu dalaman mereka, khususnya perang mulut antara pemimpin mereka.
"Pemimpin DAP Melaka berkata secara tegas tidak ada bekerjasama dengan Bersatu, tapi apa yang berlaku sekarang amat memalukan,” katanya kepada FMT.
Beliau merujuk kenyataan bekas pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo semalam yang akan memboikot kempen PH bagi PRN Melaka pada 14 Nov ini susulan khabar angin berhubung kemungkinan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu.
PH Melaka menegaskan ia akan bertanding solo pada PRN akan datang, tetapi spekulasi berhubung persefahaman pilihan raya dengan Bersatu terus bertebaran.
Terdahulu hari ini, Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, mencabar MCA keluar daripada BN sepenuhnya, manakala Setiausaha Pemuda DAP, Lim Chun Weng, mencabar parti itu bertanding PRN Melaka menggunakan logo sendiri.
Gesaan itu susulan tindakan drastik MCA bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka mengenai isu agihan kerusi dengan meninggalkan majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka malam tadi.
Sementara itu, Mike mempersoalkan sama ada DAP bersedia mengambil tindakan keluar PH dan bertanding logo sendiri sekiranya tidak bersetuju dengan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Bersatu.
"DAP sibuk mencabar MCA keluar BN atau bertanding menggunakan logo sendiri tetapi adakah DAP akan ambil langkah serupa sekiranya PH beri laluan kepada parti lain termasuk Bersatu yang mana pemimpin mereka tentang sebelum ini?"
"Jangan terlalu ghairah mengulas rumah tangga orang lain sedangkan percanggahan dalam rumah sendiri masih belum dijelaskan,” katanya.
Mike berkata tindakan kepimpinan MCA meninggalkan majlis pengumuman calon BN merupakan mesej tegas bahawa keputusan membabitkan kerusi ditandingi parti itu tidak boleh dibuat secara sepihak tanpa rundingan dan persetujuan pucuk pimpinan MCA.
Bagaimanapun katanya, perbezaan pandangan dalam BN perlu diselesaikan melalui saluran dan mekanisme dalaman secara kekeluargaan, sambil menegaskan semangat muafakat gabungan itu boleh terjejas sekiranya keputusan berkaitan parti dibuat tanpa persetujuan bersama.
“MCA mempunyai prinsip dan pendirian perjuangan sendiri. Semangat BN yang terjalin selama ini akan tercalar sekiranya perkara ini dibiarkan tanpa sebarang tindakan,” katanya.
Beliau juga menegaskan MCA tidak akan tunduk kepada provokasi DAP dan akan terus mempertahankan semangat muafakat BN, dengan menuntut setiap keputusan dibuat melalui rundingan yang adil dan bukannya arahan sepihak.
