KUALA LUMPUR: Pengampunan terhadap individu-individu yang disabitkan dengan kesalahan berkaitan 1MDB tidak akan menjejaskan usaha kerajaan memperoleh semula aset, menurut perdana menteri.
Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata, tuntutan sivil berbeza daripada prosiding jenayah dari segi asas perundangan serta keperluan keterangannya.
Beliau berkata, hak kerajaan dan 1MDB untuk meneruskan tuntutan sivil bergantung pada asas tuntutan berkenaan, keterangan sedia ada, dan perintah mahkamah.
"Begitu juga, apa-apa tindakan pelucuthakan aset tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan syarat yang mengawal tindakan tersebut.
"Kerajaan kekal komited untuk meneruskan tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB," katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Howard Lee (PH-Ipoh Timur) yang mahu kerajaan memberi jaminan bahawa usaha perolehan semula aset berkaitan 1MDB tidak akan terjejas susulan perkembangan berhubung hukuman mana-mana banduan.
Pada September, bekas perdana menteri Najib Razak diberikan pengampunan bersyarat yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memendekkan separuh tempoh hukuman asal 12 tahun pada Februari 2024. Denda awal sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Dia dipenjarakan pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.
Pada Disember 2025, Najib disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2 bilion berkaitan 1MDB. Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun serta didenda RM11.38 bilion, dan kini sedang merayu sabitan tersebut.
Awal tahun ini, ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika itu Azam Baki berkata, negara berupaya mendapatkan semula USD2 bilion (RM8.16 bilion) lagi aset yang dikaitkan dengan skandal 1MDB menjelang akhir tahun depan.
Azam berkata, aset-aset tersebut merupakan sebahagian baki dana terakhir yang telah diseleweng.
Setakat 2025, Malaysia telah memperoleh semula RM31.3 bilion, atau 74.53% daripada RM42 bilion dana yang diselewengkan daripada 1MDB.
