PETALING JAYA: Pucuk pimpinan Bersatu akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti itu pada PRN Melaka menerusi mesyuarat diadakan esok.
Ketua Penerangan Bersatu Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, berkata keputusan itu termasuk penggunaan logo parti berkenaan.
“Esok mesyuarat MPT, keputusan akhir akan diumumkan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Bersatu akan bertanding tujuh kerusi pada PRN Melaka susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) hanya bertanding di 21 daripada 28 kerusi DUN.
Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa PH berkemungkinan mengadakan persefahaman pilihan raya dengan Bersatu.
Sementara itu, sumber dalam kalangan pemimpin MPT Bersatu memaklumkan parti itu hampir pasti mengadakan kerjasama dengan PH.
“Setakat ini kami hampir pasti akan bekerjasama dengan PH. Dalam PRN Melaka 14 November ini, pengumuman rasmi akan dibuat pucuk pimpinan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Bersatu tidak akan bertanding di semua tujuh kerusi yang ditinggalkan PH, sebaliknya kerusi berkenaan akan ditandingi parti lain.
PH sebelum ini mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi, namun gabungan itu tidak menyatakan parti mana yang akan bertanding di baki tujuh kerusi.
Perkara itu terus menjadi tanda tanya di tengah-tengah spekulasi mengenai kerjasama dengan Bersatu.
Selain PH, BN turut mengumumkan akan bertanding di 21 kerusi, sambil memaklumkan baki tujuh kerusi akan ditandingi PAS dan rakan-rakannya.
