KUALA LUMPUR: Dua Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan desakan supaya Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletak jawatan susulan kes buli di sekolah kerana menteri tidak patut dipersalahkan sepenuhnya atas kejadian sedemikian.
Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berkata, berdasarkan logik sama, kerajaan perlu menggantikan ramai menteri jika setiap kemalangan jalan raya dianggap alasan yang menuntut peletakan jawatan.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang mempersoalkan desakan supaya Fadhlina meletak jawatan sambil menyentuh kadar tinggi penyalahgunaan dadah di beberapa negeri.
Memetik angka bagi 2024, Aminolhuda berkata, Kelantan mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tertinggi, iaitu 980 kes bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Terengganu (925), Perlis (884) dan Kedah (790).
"Jika seorang pelajar dibuli, timbul desakan supaya menteri pendidikan meletak jawatan. Jadi, bagaimana pula dengan empat negeri yang mencatatkan kadar penyalahgunaan dadah tinggi ini?" soal Aminolhuda.
Sany berkata, penyalahgunaan dadah merupakan masalah nasional yang memerlukan tindakan kolektif, bukannya menyalahkan kerajaan negeri.
"Saya tidak mahu menuding jari kepada kerajaan Kelantan, Terengganu, Perlis atau Kedah kerana ini masalah kita bersama."
Beliau berkata, Ahli Parlimen, menteri, ketua agensi dan pemimpin masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk menangani isu penyalahgunaan dadah, yang disifatkannya masalah serius di Malaysia.
Ahli Parlimen PAS sebelum ini mendesak Fadhlina meletak jawatan berhubung caranya mengendalikan isu buli di sekolah, khasnya kematian Zara Qairina Mahathir, 13, di Sabah tahun lalu.
Pada 21 Okt lalu, seorang pelajar lelaki 16 tahun didakwa menyerang seorang guru wanita menggunakan kapak di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak.
Sany menegaskan Malaysia mempunyai kira-kira 10,200 sekolah dan jutaan pelajar, justeru kerajaan tidak wajar dipersalahkan atas setiap kes buli.
"Ini adalah masalah membabitkan anak-anak kita. Oleh itu, kita tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata.
"Bagaimana pula dengan peranan kita sebagai masyarakat? Bagaimana dengan peranan kita sebagai wakil rakyat, ketua kampung dan pemimpin masyarakat? Bagaimana pula dengan peranan kita sebagai bapa, abang, kakak dan adik-beradik di rumah?"
Beliau menggesa semua pihak bekerjasama menangani penyalahgunaan dadah dan buli kerana dua masalah itu memerlukan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.
