KUALA LUMPUR: Sebuah kumpulan mewakili waris 54 rakyat Malaysia yang hilang dalam bencana banjir di Nepal telah mengemukakan cadangan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mewujudkan rangka kerja perlindungan kewangan berstruktur untuk membela nasib keluarga mangsa.
Jurucakap kumpulan R Manivannan berkata, cadangan itu memperincikan penyelesaian berkaitan perlindungan liabiliti, pemeliharaan aset, dan kesinambungan perniagaan.
Satu dokumen berasingan setebal 20 muka surat turut diserahkan kepada wakil persatuan perbankan, kewangan dan takaful.
Selepas pertemuan dengan pegawai BNM selesai, Manivannan memaklumkan bahawa institusi kewangan pada dasarnya bersetuju menangguhkan usaha kutipan hutang sementara menunggu garis panduan rasmi dimuktamadkan.
"Secara dasarnya, semua pihak bersetuju buat masa ini tiada sebarang tindakan akan diambil sehingga kata sepakat dicapai. Mereka tidak akan tuntut bayaran daripada pihak keluarga," katanya kepada pemberita di luar bangunan Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB) hari ini.
Menerusi rangka kerja yang dicadangkan itu, kumpulan terbabit menuntut bank memberikan moratorium pinjaman penuh dengan pengecualian jelas terhadap faedah terakru, penalti bayaran lewat, serta pelanjutan tempoh pembiayaan secara arbitrari.
Manivannan bagaimanapun tidak mendedahkan kandungan lain dokumen cadangan itu.
Beliau berkata, status mangsa yang belum ditemukan meletakkan waris dalam ketidaktentuan dari segi undang-undang sehingga menyukarkan mereka mengakses akaun bank, pelaburan, mahupun polisi insurans berikutan sijil kematian tidak dapat dikeluarkan oleh mahkamah tanpa pengesahan penemuan mayat.
Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan terkini Nepal yang membenarkan mangsa dianggap meninggal dunia selepas 45 hari hilang berbanding tempoh 12 tahun sebelum ini dijangka mempercepat penyelesaian isu tersebut, memandangkan tempoh berkenaan telah pun berlalu.
