ATHENS: Enam individu termasuk seorang bayi maut dalam perlanggaran membabitkan sebuah bot laju membawa migran dan kapal peronda pengawal pantai Greece di perairan Pulau Lesvos, timur Laut Aegean, pada Isnin, menurut pihak berkuasa Greece, lapor Xinhua.
Menurut pihak berkuasa, kejadian pada awal pagi itu berlaku apabila bot laju terbabit dikendalikan secara berbahaya ketika cuba mengelak pemeriksaan pengawal pantai.
Pengawal pantai memaklumkan mayat empat lelaki, seorang wanita dan bayi berkenaan ditemui selepas bot itu terbalik serta karam. Lapan individu, termasuk empat lelaki, dua wanita dan dua kanak-kanak yang diselamatkan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Menurut pengawal pantai, operasi mencari dan menyelamat selesai serta tiada individu lain dilaporkan hilang. Pengendali bot berusia 37 tahun yang juga warga Turki ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan penyeludupan manusia.
Menteri Hal Ehwal Maritim dan Dasar Kepulauan Greece, Vassilis Kikilias, menzahirkan rasa sedih dan marah atas kematian itu.
Beliau menegaskan semula pendirian kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap penyeludup, sambil menyifatkan mereka sebagai penjenayah yang mempertaruhkan nyawa golongan terdesak demi mengaut keuntungan.
