PETALING JAYA: PAS berkemungkinan akan terus bekerjasama dengan Wawasan pimpinan Hamzah Zainudin sekiranya pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional dikekalkan, menurut bekas ketua penerangan Umno.
Shahril Hamdan berkata PAS akan menginginkan pakatan dengan Wawasan kerana parti itu dapat membantu menghalang Umno daripada menjadi terlalu dominan, sekiranya dua parti Melayu terbesar itu memutuskan untuk membentuk pakatan pilihan raya.
"PAS mahukan satu 'jambatan' antara mereka dan Umno, supaya ada sedikit jarak, ada sedikit cara untuk membolehkan rundingan itu lebih seimbang," kata Shahril dalam episod terkini audio siar 'Keluar Sekejap'.
Satu pakatan dengan Wawasan akan memberi manfaat kepada PAS, mengambil kira sejarah parti Islam itu dengan Umno di bawah Muafakat Nasional (MN), katanya.
MN ditubuhkan tujuh tahun lalu untuk menyatukan pengundi Melayu-Islam selepas Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, PAS memutuskan untuk bekerjasama dengan Bersatu -- parti serpihan Umno -- dan Umno menganggapnya sebagai satu pengkhianatan.
PAS juga bertegas untuk membawa Bersatu ke dalam MN, di mana Umno menentangnya. Kerjasama itu akhirnya berakhir pada Disember 2022.
Shahril berkata pembatalan pendaftaran PN akan memberi kesan kepada Hamzah memandangkan parti beliau itu boleh kehilangan sebahagian pengaruh politik.
Namun bekas menteri persekutuan itu mempunyai pilihan, katanya.
"Apa pun yang kita fikir, dia antara operator yang unggul dan dia pandai menggunakan kemahiran dia itu," katanya.
Rakan pengacara, Zaidel Baharuddin, berkata pembatalan pendaftaran PN, sekiranya dikekalkan, akan mengurangkan kuasa tawar-menawar Hamzah secara ketara.
Ia juga boleh menjadikan rundingan antara Umno dan PAS lebih terus dan mudah, kerana tidak perlu lagi mengambil kira gabungan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia membatalkan pendaftaran PN awal minggu ini. Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan penangguhan sementara menunggu semakan kehakiman selesai, lalu membolehkan PN beroperasi.
