KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus kanan Lembaga Tabung Haji (TH) memohon untuk membatalkan sabitan rasuah membabitkan suapan berjumlah RM170,477 yang diterimanya lebih 10 tahun lalu.
Zaharuddin Hamid didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 30 Nov 2023 atas tiga tuduhan rasuah melibatkan wang yang diterima melalui sebuah syarikat daripada seorang lelaki bernama Yusaidi Mohd.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap tuduhan, diperintahkan berjalan serentak, serta denda RM852,385 atau penjara 15 bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.
Wang yang dimasukkan ke dalam akaun kakaknya itu merupakan dorongan untuk membantu dua syarikat pembinaan mendapatkan kontrak pengubahsuaian di pejabat TH di Ipoh, Perak, serta di Muar, Batu Pahat dan Kluang, Johor.
Mengikut fakta kes, Zaharuddin bertemu dengan Yusaidi dan seorang lagi individu di sebuah restoran sekitar 2015 bagi membincangkan tender tersebut.
Mahkamah Sesyen diberitahu, dalam pertemuan itu, Zaharuddin meminta habuan sebanyak 2% daripada Yusaidi, yang perlu dibayar secara dua kali ansuran.
Zaharuddin menafikan perkara itu, namun mahkamah memutuskan bahawa pembelaannya sekadar penafian kosong dan gagal mematahkan anggapan statutori yang diguna pakai.
Zaharuddin dibenarkan diikat jamin sementara menunggu pelupusan rayuannya selesai.
Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Nurdin menetapkan 20 Jan untuk mendengar rayuan Zaharuddin semasa pengurusan kes hari ini.
Zaharuddin diwakili peguam Ashok Athimulan, manakala Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah hadir bagi pihak pendakwaan.
