PETALING JAYA: Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan kuota, proses pemilihan dan tempoh masa yang jelas bagi menyerap pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap.
Gesaan itu dibuat selepas Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kementerian akan mengemukakan cadangan penyerapan pegawai farmasi kontrak ke jawatan tetap untuk dipertimbangkan Kementerian Kewangan dan Jemaah Menteri.
Persatuan itu secara khusus meminta penjelasan mengenai jumlah jawatan yang akan dicadangkan, tempoh kelulusan serta kumpulan pegawai farmasi kontrak yang layak dipertimbangkan.
Ia turut meminta penjelasan mengenai status pegawai farmasi yang sudah menamatkan atau menghabiskan tempoh kontrak tetapi bersedia untuk terus berkhidmat.
Dengan 3,545 pegawai farmasi kontrak masih berkhidmat di KKM dan 115 lagi menunggu jawatan tetap, persatuan itu mempersoalkan sama ada 115 individu berkenaan akan diberi keutamaan serta sama ada pegawaiw farmasi yang kontraknya sudah tamat masih boleh dipertimbangkan.
MPS turut mahukan perincian proses pemilihan, termasuk sama ada pelantikan akan dibuat secara berperingkat serta bagaimana pengalaman berkhidmat, tempoh perkhidmatan dan keperluan tenaga kerja akan diambil kira.
Presidennya, Amrahi Buang, berkata pihaknya menyambut baik cadangan mewujudkan kuota baharu bagi jawatan tetap pegawai farmasi dan pergigian, yang berasingan daripada 9,000 jawatan tetap pegawai perubatan yang diumumkan di bawah Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, katanya, keutamaan sekarang adalah menterjemahkan komitmen itu kepada mekanisme yang jelas, telus dan boleh dilaksanakan.
“Pegawai farmasi yang terjejas memerlukan kepastian yang mencukupi untuk membuat keputusan termaklum mengenai kerjaya dan kesinambungan perkhidmatan mereka dalam sistem penjagaan kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Amrahi berkata MPS juga berpandangan bahawa penyelesaian isu itu memerlukan strategi tenaga kerja farmasi yang lebih menyeluruh dan mampan, merangkumi keperluan kakitangan, usaha mengekalkan tenaga kerja, pembangunan kerjaya serta perubahan peranan ahli farmasi dalam sistem penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, menerusi Bahagian Ahli Farmasi Awam, persatuan itu akan terus mengumpulkan maklum balas daripada pegawai farmasi yang terjejas dan memperjuangkan laluan kerjaya yang adil serta mampan.
